Kerugian bersih Talam Transform naik 182% kepada RM36 juta bagi FY26 akibat kekurangan jualan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerugian bersih Talam Transform naik 182% kepada RM36 juta bagi FY26 akibat kekurangan jualan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 29 MeiTalam Transform Berhad mencatatkan peningkatan kerugian bersih kira-kira 182.45% kepada sebanyak RM36.13 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2026 (FY26).

 

Menurut maklumannya, angka tersebut melonjak ketara berbanding kerugian bersih hanya sebanyak RM12.79 juta yang pernah dicatatkan kumpulan berkenaan pada tahun kewangan sebelumnya (FY25).


Peningkatan kerugian ini disebabkan terutamanya oleh faktor ketiadaan pendapatan sekali sahaja secara signifikan seperti pada tahun lalu, serta kekurangan sumbangan daripada jualan inventori.


"Di samping itu, caj perakaunan bukan tunai berjumlah RM3.84 juta bagi Skim Opsyen Saham Pekerja (ESOS) yang baru dilaksanakan turut menyumbang kerugian tersebut," katanya kepada Bursa Malaysia.


Pendapatan Talam Transform juga mencatatkan situasi kemerosotan kira-kira 53.4% kepada sebanyak RM20.38 juta berbanding hasil mencecah sekitar RM43.7 juta direkodkan pada tahun kewangan 2025.


Prestasi suku keempat (4QFY26) mencatatkan kerugian selepas cukai (LAT) RM13.60 juta, berbanding keuntungan bersih sebanyak RM2.31 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya (4QFY25).


Kumpulan tersebut menyatakan, isu kos kewangan kekal sebagai item kos utama yang didapati menjejaskan keputusan syarikat berkenaan dengan jumlah RM20.0 juta bagi tahun di bawah tinjauan.


"Bahagian pembangunan hartanah menjadi penyumbang utama kerugian tersebut dengan kerugian sebelum cukai (LBT) RM35.75 juta berikutan penurunan jualan inventori yang ketara," kata Talam Transform.


Bagaimanapun, syarikat berjaya mencatatkan pelarasan semula sebanyak RM2.37 juta daripada akaun belum bayar dan akruan hasil daripada pelaksanaan pematuhan Akta Wang Tidak Dituntut 1965.


Melangkah ke hadapan, ia menyatakan kebimbangan terhadap persekitaran mencabar dalam sektor hartanah dan pembinaan berikutan ketidaktentuan rantaian bekalan dan peningkatan kos input.


Pihak pengurusan Talam Transform sedang giat mengambil langkah untuk mengurangkan kos kewangan bagi tahun depan dan telah menyelesaikan beberapa cadangan korporat termasuk penyatuan saham.


Selain itu, kumpulan tersebut melaksanakan penempatan persendirian saham untuk mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat mengharungi tempoh suku akan datang. - DagangNews.com