KUALA LUMPUR 26 Feb - Hextar Healthcare Bhd mencatatkan kerugian bersih rendah sebanyak RM13.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) berbanding RM64.77 juta pada tahun sebelumnya didorong cabaran berterusan dalam segmen sarung tangan dan penjagaan kesihatan.
Katanya, keadaan itu juga ditambah dengan purata harga jualan (ASP) yang tidak menggalakkan selain adar penggunaan kilang yang rendah.
Hasil kumpulan bagaimanapun menyusut kepada RM146.9 juta berbanding RM154.8 juta pada FY23.
"Walaupun keadaan lebihan bekalan sarung tangan berada di landasan baik untuk kembali normal namun permintaan pasaran kekal lemah dan pengurusan telah menilai rosot nilai kepada inventorinya berjumlah RM19.4 juta pada suku semasa," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kerugian bersih kumpulan itu pada suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) menyusut kepada RM7.99 juta berbanding RM46.01 juta bagi suku sama tahun sebelumnya didorong peningkatan hasil sebanyak RM41.7 juta berbanding RM36.3 juta pada 4QFY23.
Katanya, segmen pelaburan hartanahnya juga dijangka tidak menyumbang sebarang pendapatan ketara dalam FY25.
Bagi operasi peranti perubatan, kumpulan itu tetap memberi tumpuan kepada pembuatan dan penjualan kit ujian diagnostik untuk pengesanan pelbagai penyakit berjangkit seperti filariasis, malaria, kepialu, HIV dan kit ujian penyalahgunaan dadah lain, yang diedarkan di Malaysia dan luar negara.
Pengarah Urusannya, Khoo Chin Leng berkata, pihaknya telah mengambil langkah perlu yang aktif untuk menangani permintaan lemah semasa dan harga, termasuk membuat peruntukan rosot nilai dan Tindakan itu akan membuka jalan untuk peningkatan prestasi dalam jangka panjang.
"Kami menjangkakan keadaan pasaran kekal mencabar bagi jangka pendek dan sederhana dan kumpulan terus komited meletakkan dirinya sebagai pemain utama dalam industri penjagaan kesihatan melalui inovasi dan pertumbuhan yang berterusan," katanya. - DagangNews.com








