KUALA LUMPUR 28 Feb - Keuntungan bersih Kerjaya Prospek Group Bhd meningkat 21.6% pada suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) diorong oleh aktiviti kerja pembinaan kukuh.
Keuntungan bersih Kerjaya bagi 4QFY24 ialah RM43.42 juta berbanding RM35.74 juta pada suku yang lepas.
Di samping itu, hasil suku tersebut meningkat 22% kepada RM598.07 juta daripada RM489.04 juta pada suku yang lepas.
Kerjaya mengisytiharkan dividen sebanyak 3 sen sesaham pada 4QFY24.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, hasilnya naik pada 4QFY24 dibantu oleh kemajuan aktiviti kerja pembinaan.
Mengenai segmen pembangunan hartanah, Kerjaya berkata, projek pembangunan telah menyumbang secara positif kepada keputusan kumpulan.
Sementara itu, Kerjaya melaporkan kenaikan 21.76% dalam keuntungan bersih kepada RM160.15 juta sambil mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM1.84 bilion berbanding RM1.47 bilion dalam tempoh yang sama.
Mengulas mengenai prestasi itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Tee Eng Tiong, berkata, kumpulan itu mengisytiharkan dviden 15 sen pada FY24.
"Ini membawa kepada hasil dividen tahunan kepada 7% tertinggi berdasarkan harga saham semasa iaitu RM2.10," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Berherak ke hadapan, kumpulan itu akan memberi tumpuan kepada segmen pembinaannya, menjadikannya sebagai pemacu pendapatan utama.
Sementara itu, Kerjaya menyasar untuk mengembangkan perniagaan terasnya dalam pembinaan dan berhasrat untuk mengekalkan segmen pembuatannya untuk melengkapkan perniagaan terasnya. - DagangNews.com








