KUALA LUMPUR 25 Mei – Zetrix AI Berhad dan Shenzhen Data Exchange Co Ltd (SZDEX) menjalin kerjasama strategik bagi membangunkan sebuah platform perdagangan data rentas sempadan antara ASEAN dan China yang membuka lembaran baharu dalam penjanaan nilai ekonomi berasaskan data di rantau ini.
Zetrix AI berkata kerjasama ini bertujuan menjadikan data sebagai satu kelas aset strategik yang boleh diniagakan secara lebih tersusun, selamat dan terkawal.
“Inisiatif ini juga dilihat sebagai langkah penting ke arah membentuk ekosistem perdagangan data serantau yang lebih dinamik dan bersepadu.
“Dengan populasi hampir 700 juta penduduk, ASEAN mempunyai jumlah data yang sangat besar dan berpotensi tinggi untuk dimanfaatkan. Namun, nilai sebenar data tersebut masih belum diterokai secara optimum setakat ini,” kata Zetrix AI dalam satu kenyataan bersama.
Sebagai perbandingan, China telah membangunkan pasaran data yang lebih matang, dengan nilai transaksi data dianggarkan mencecah RMB50 bilion pada tahun 2025.
Data tersebut turut menjadi sumber penting kepada syarikat yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan operasi.
Melalui kerjasama ini, Zetrix AI dan SZDEX menyasarkan untuk meletakkan ASEAN sebagai salah satu hab utama perdagangan data di peringkat global, khususnya dalam ekosistem ekonomi digital yang berkembang pesat.
Kedua-dua pihak telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka pembangunan infrastruktur perdagangan data, termasuk aspek keselamatan data, perlindungan privasi serta rangka kerja peraturan yang lebih menyeluruh.
“Antara fokus utama kerjasama ini ialah pembangunan platform peredaran data serantau yang mematuhi peraturan. Platform ini akan membolehkan data dipindahkan dan digunakan antara negara ASEAN dengan lebih efisien serta terkawal.
“Selain itu, kedua-dua pihak juga akan membangunkan sistem perdagangan dua hala bagi produk data antara ASEAN dan China. Sistem ini merangkumi proses seperti semakan pematuhan, pendaftaran hak data, serta penyelesaian transaksi secara digital,” katanya.
Data daripada pelbagai sektor seperti pelancongan, kewangan, pertanian, pembuatan, perdagangan dan perkhidmatan awam akan dihimpunkan bagi membolehkan ia digunakan secara lebih bernilai dalam bentuk produk data.
Kerjasama ini juga akan memperkukuh ekosistem data serantau melalui perkongsian pengetahuan, penganjuran forum, seminar serta kajian bersama bagi membangunkan model perdagangan data rentas sempadan yang lebih selamat dan berkesan.
Zetrix AI dan SZDEX menegaskan aspek keselamatan data serta perlindungan privasi akan menjadi keutamaan utama dalam semua inisiatif yang dirancang, bagi memastikan pembangunan ekonomi data tidak mengabaikan aspek kawal selia.
Syarikat itu turut menyatakan bahawa kerjasama ini seiring dengan penyertaan Zetrix AI dalam World Data Organization sebagai ahli pengasas, yang memperkukuh peranannya dalam pembangunan ekosistem data global yang lebih bertanggungjawab.
Zetrix AI sebelum ini dikenali sebagai MY EG Services Berhad dan kini giat memperkukuh kedudukannya dalam bidang teknologi rantaian blok, kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital serantau melalui platform Zetrix yang berasaskan lapisan pertama (layer-1 blockchain).
Menerusi kerjasama ini, kedua-dua pihak berharap ASEAN dapat mengambil peluang daripada pertumbuhan ekonomi data global, sekali gus mewujudkan aliran data rentas sempadan yang lebih teratur, selamat dan memberi nilai ekonomi kepada semua pihak yang terlibat. - DagangNews.com








