Kerjasama Teladan Group, Gezhouba dan Nanyang percepat pembangunan Hab Perindustrian Golden Valley | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjasama Teladan Group, Gezhouba dan Nanyang percepat pembangunan Hab Perindustrian Golden Valley

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (berdiri tengah belakang) menyaksikan pemeteraian MoU antara Teladan Group Bhd dengan Gezhouba Engineering (M) Sdn Bhd dan Nanyang Sea Silk Road Sdn Bhd di Holiday Inn Melaka, baru-baru ini. Gambar/FB Ab Rauf Yusoh
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 24 Mac - Teladan Group Bhd, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Gezhouba Engineering (M) Sdn Bhd dan Nanyang Sea Silk Road Sdn Bhd untuk pembangunan Hab Perindustrian Golden Valley di Jasin.

 

Teladan Group berkata, ia akan memainkan peranan utama dalam memastikan sokongan kerajaan, memudahkan penukaran tanah dan memastikan pematuhan dengan pihak berkuasa tempatan.

 

Selain itu, ia akan menawarkan peluang pelaburan dan pembiayaan yang diperlukan untuk pelaksanaan projek tersebut.

 

"Menurut perjanjian ini, Gezhouba Engineering akan menyumbang kepakaran teknikalnya, manakala Nanyang Sea Silk Road akan bertanggungjawab membekalkan bahan-bahan tempatan," kata syarikat dalam satu kenyataan.

 

MoU tersebut ditandatangani pada hari Jumaat lalu di hadapan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Holiday Inn Melaka.

 

Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Teladan Group, Richard Teo Lay Ban, dan Ketua Akauntan Gezhouba Group International Engineering Company Ltd, Yuan Guoqi.

 

Pengerusi Hab Perindustrian Golden Valley, Datuk Gan Tian Loo berkata, projek berkenaan dijangka memainkan peranan aktif dalam pembangunan perindustrian dan ekonomi Melaka.

 

"Projek ini menandakan satu langkah penting dalam usaha kami untuk meningkatkan sektor pelaburan dan perindustrian negeri, menjadikannya lebih kompetitif," katanya.

 

Beliau berkata, Hab Perindustrian Golden Valley dirancang sebagai lokasi pelaburan bernilai tinggi dengan kesan yang signifikan terhadap keusahawanan dan pembangunan perindustrian.

 

"Hab perindustrian ini bukan sahaja menyediakan ruang fizikal yang luas, tetapi juga membangunkan ekosistem yang memperkukuh daya saing, meningkatkan produktiviti dan merangsang pertumbuhan lestari bagi pemain industri," ujarnya.

 

Selain itu, menurut Tian Loo, ia akan merangsang pembangunan sektor pembuatan, inovasi dan teknologi di Melaka.

 

Tambah beliau, hab perindustrian tersebut merangkumi kawasan seluas 109.26 hektar di Jasin, yang terletak hanya 16.6 kilometer dari Plaza Tol Ayer Keroh.

 

"Dengan kata lain, hab perindustrian ini mendapat manfaat daripada lokasi utama yang berdekatan dengan kemudahan penting, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka dan Pelabuhan Tanjung Beruas," katanya.

 

Hab Perindustrian Golden Valley dijangka menjadi pemangkin utama dalam mendorong pertumbuhan industri dan menarik pelaburan asing ke Melaka, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab ekonomi utama. - DagangNews.com