Kerjasama pertahanan dengan Türkiye beri Malaysia pilihan baharu, elak bergantung kepada Barat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjasama pertahanan dengan Türkiye beri Malaysia pilihan baharu, elak bergantung kepada Barat

Anka MALE UAS aset baharu buatan Türkiye yang bakal diterima Malaysia.
Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

Industri pertahanan Turkiye terus melebarkan kehadirannya di negara ini berikutan kejayaan mendapatkan kontrak membina kapal terbaharu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

 

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memilih Desan Shipyard untuk menyiapkan kapal misi pelbagai guna (MPMS) dengan kos dianggarkan kira-kira RM350 juta.

 

Siap kelak pada 2027, ia bakal menjadi kapal terbesar dalam armada APMM selepas kapal ronda pesisir (OPV) KM Tun Fatimah.

 

Desan Shipyard antara limbungan pembinaan kapal ternama Türkiye yang turut menyumbang pada kemajuan industri pertahanan negara itu.

 

Ketika ini industri pembinaan kapal Turkiye adalah yang kelima terbesar di dunia, malah negara besar seperti Pakistan, Portugis dan Ukraine juga membina kapal perang di sana.

 

Kapal
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Erdogan melihat model kapal MPMS selepas majlis menandatangani MoU di Putrajaya baru-baru ini.
 

 

Kapal MPMS milik APMM menjadi aset baharu yang dibeli dari Turkiye kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

Pada Jun tahun lalu, Kementerian Pertahanan (Mindef) memilih syarikat Savunma Teknolojieri Muhendiskil (STM) membina LMS Batch 2 Tentera bernilai lebih RM2 bilion.

 

Tiga kapal LMS ini dibina berdasarkan rekaan korvet kelas Ada yang mana pemotongan besi kapal pertama telah pun dimulakan.

 

Apa yang menarik, Desan Shipyard turut bersaing dengan STM dan beberapa limbungan perkapalan luar negara untuk memenangi kontrak LMS Batch 2 ini.

 

Sebelum projek LMS Batch 2, Malaysia membeli 20 buah kenderaan perisai Panthera 4x4 bernilai RM190 juta daripada syarikat Nurol Makina.

 

Kapal
Kapal LMS Batch 2 TLDM yang dibina berasaskan korvet kelas Ada.

 

Kapal

 

Kementerian Pertahanan (Mindef) memilih kenderaan perisai itu pada tahun 2021 bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan.

 

Pada tahun hadapan pula, TUDM bakal menerima tiga sistem pesawat tanpa pemandu Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE UAS) Anka daripada Turkish Aerospace Industries (TAI).

 

Malaysia menjadi negara pertama di rantau ini menggunakan dron Anka MALE UAS yang telah teruji dalam pertempuran.

 

Signifikan besar dalam kerjasama pertahanan kedua-dua negara ini diterjemahkan melalui lawatan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ke negara ini pada Selasa lalu.

 

Selain kontrak dengan KDN, Türkiye turut memeterai kerjasama dalam sektor pertahanan dengan dua perjanjian utama.

 

Pesawat
Dron Anka MALE UAS.

 

Pesawat
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan (empat dari kanan) bersama delegasi semasa melawat fasiliti pembinaan dron Anka MALE UAS di Türkiye.

 

Pertama, perolehan kerajaan dengan kerajaan (G2G) dan penubuhan Jawatankuasa Bersama bagi Produk Pertahanan di antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Industri Pertahanan Turkiye, Prof Aluk Gorgun.

 

Kedua, melibatkan sistem komunikasi strategik di antara Majlis Keselamatan Negara Malaysia dan Sekretariat Industri Pertahanan Turkiye.

 

Imbas kembali, hubungan pertahanan Malaysia-Turkiye terjalin sejak 1985 tetapi pada masa itu ia terhad dan tidak melibatkan sebarang pembelian kelengkapan dari sana.

 

Dengan kecenderungan Malaysia ketika itu memilih Eropah selain Amerika Syarikat, maka negara pengeluar kelengkapan bukan tradisional ini tidak mendapat tempat.

 

Kenderaan
Kenderaan perisai Panthera 4x4 APC.

 

Seawal tahun 80an, industri pertahanan Turkiye bangun perlahan-lahan menerusi polisi kerajaannya melancarkan inisiatif pada peringkat nasional dan antarabangsa.

 

Hanya pada tahun 90an, syarikat-syarikat pertahanan Türkiye mula memberi tumpuan kepada Malaysia sebagai salah sebuah pelanggan potensi di Asia.

 

Pameran pertahanan seperti DSA dan LIMA memainkan peranan penting untuk menarik penyertaan industri pertahanan Türkiye ke rantau sebelah sini.

 

Kontrak besar pertama diterima Türkiye pada tahun 2001 apabila syarikat FNSS Savunma Sistemleri A.Ş (FNSS) bersama-sama DEFTECH membina 211 buah kenderaan berperisai ACV 300 Adnan.

 

Kenderaan
Adnan ACV 300.

 

Kenderaan
Gempita.

 

Kerjasama DEFTECH-FNSS diteruskan apabila Mindef menganugerahkan kontrak membekalkan 257 buah kenderaan tempur 8×8 Gempita.

 

Hari ini, industri pertahanan Türkiye telah mempamerkan kemajuan yang ketara hingga muncul sebagai pengeksport senjata utama. 

 

Keupayaan negara itu menghasilkan peralatan pertahanan yang berkualiti tinggi dan kos efektif telah meningkatkan pengaruh strategiknya di wilayah seperti Afrika dan rantau Teluk. 

 

Dron Turki terutamanya Bayraktar TB2 memainkan peranan penting dalam kemenangan besar Azerbaijan ke atas Armenia dalam konflik Nagorno-Karabakh, begitu juga semasa konflik di Ukraine.

 

Kapal

 

Kapal

 

Pertumbuhan industri pertahanan Türkiye kini dilihat menjadi elemen penting dalam strategi keselamatan negara itu selain muncul sebagai pemain industri.

 

Bagi Malaysia, pemilihan Türkiye sebagai rakan industri juga bersifat strategik apabila mempelbagaikan negara pengeksport kelengkapan pertahanan dan keselamatan.

 

Dalam keadaan geopolitik semasa, penting untuk Malaysia mempunyai lebih banyak pilihan selain negara-negara barat yang mana Türkiye dilihat sebagai paling baik ketika ini. - DagangNews.com