Kerajaan tingkatkan usaha pastikan bekalan minyak petrol melepasi Jun - Akmal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan tingkatkan usaha pastikan bekalan minyak petrol melepasi Jun - Akmal

KUALA LUMPUR 30 April - Malaysia sedang mempergiat usaha bagi memastikan kesinambungan bekalan minyak petrol negara melepasi Jun ini, dengan perkembangan lanjut mengenai peluasan inventori dijangka diumumkan bulan depan.

 

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) sedang mengadakan rundingan bersama beberapa pembekal berpotensi.

 

 

 

 

 

 

 

“Kita perlu memastikan rundingan berada pada harga yang tepat,” katanya lapor Bloomberg. Beliau sebelum itu diwawancara Haslinda Amin daripada Bloomberg TV. 

 

akmal

 

Menurut Akmal, kerajaan masih mempunyai fleksibiliti untuk mengurus subsidi bahan api sambil mengawal defisit fiskal.

 

Dalam usaha mengawal permintaan domestik, kerajaan sebelum ini telah mengurangkan kuota bahan api bersubsidi daripada 300 liter kepada 200 liter bagi setiap individu, selain memperkenalkan dasar bekerja dari rumah dalam kalangan penjawat awam.

 

Langkah ini dilihat sebagai sebahagian strategi jangka pendek bagi mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi yang semakin meningkat.

 

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan negara masih berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran defisit fiskal tahun ini, walaupun berdepan lonjakan harga tenaga global.

 

Kos subsidi bahan api bulanan dilaporkan meningkat kepada sekitar RM7 bilion pada April, kira-kira 10 kali ganda berbanding sebelum konflik di Timur Tengah, sekali gus memberi tekanan ketara kepada kedudukan kewangan kerajaan.

 

 

 

 

 

 

 

 

Dalam perkembangan berkaitan, Akmal berkata ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan gangguan rantaian bekalan global, dengan kekuatan mata wang tempatan membantu mengurangkan impak kenaikan harga tenaga.

 

“Sudah pasti cabaran akan semakin meningkat, namun kami menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara akan berterusan,” ujarnya. - DagangNews.com