Kerajaan tiada rancangan perkenalkan mekanisme gaji pekerja gig | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan tiada rancangan perkenalkan mekanisme gaji pekerja gig

KUALA LUMPUR 14 Feb - Kerajaan tiada rancangan untuk memperkenalkan mekanisme bagi menetapkan gaji yang adil bagi pekerja ekonomi gig, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

 

Beliau berkata, kementerian komited untuk mengambil pendekatan kawal selia yang seimbang bagi mengekalkan fleksibiliti industri berkenaan.

 

"Perkara asas dalam industri gig perlu dikekalkan. Peraturan yang terlalu ketat boleh mengganggu ekosistem dinamik dalam industri ini," katanya semasa sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat, hari ini seperti laporan The Star.

 

Beliau menjawab soalan daripada Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai sama ada kerajaan akan memperkenalkan mekanisme khas untuk menetapkan gaji minimum bagi pekerja gig di Malaysia.

 

Abdul Rahman berkata, jemaah menteri telah meluluskan penubuhan sebuah majlis perundingan bagi pekerja gig pada 22 November 2024.

 

"Majlis ini akan berfungsi sebagai platform perbincangan strategik untuk menangani isu pekerja gig secara menyeluruh dan membina termasuk berkaitan gaji," ujarnya.

 

Beliau menjelaskan, perbincangan akan melibatkan wakil pekerja gig, penyedia platform, pegawai kerajaan dan pihak berkepentingan lain yang relevan.

 

"Majlis ini akan mengemukakan cadangan pelbagai aspek, seperti tahap pendapatan minimum dan formula yang digunakan untuk menentukannya.

 

"Sekiranya cadangan ini diluluskan, ia akan dilaksanakan oleh kementerian,” katanya.

 

Abdul Rahman dalam pada itu berkata, kementerian sedang berusaha untuk menyepadukan pekerja gig ke dalam sistem perlindungan nasional, dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kementerian Kewangan turut terlibat dalam meningkatkan kebajikan mereka. - DagangNews.com