KUALA LUMPUR 13 Feb — Harga lantai padi akhirnya diselaraskan kepada RM1,500 satu tan, naik daripada hanya RM1,300 satu tan sebelum ini dan bakal berkuat kuasa mulai 16 Februari.
Kerajaan juga bersetuju untuk mengekalkan harga runcit beras putih tempatan kepada RM2.60 sekilogram dengan menyerap kira-kira RM150 juta kos pengeluaran selama tempoh enam bulan.
Perkara itu diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika berucap mengenai situasi semasa isu padi dan beras di negara ini di Dewan Rakyat.
Pelarasan itu mengambil kira peningkatan kos buruh dan perbelanjaan input pertanian, seperti baja dan racun perosak namun dijangka memberi kesan kepada kos pengeluaran dan harga pasaran.
Kementerian itu ujarnya sedang memuktamadkan rundingan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Kewangan bagi melanjutkan kelayakan subsidi diesel.
Inisiatif berkenaan yang dilaksanakan di bawah Program Budi Madani kepada penyedia perkhidmatan dalam industri padi dan beras untuk memastikan kestabilan kos pengeluaran dapat dipertahankan.
Selain itu, Mohamad berkata kerajaan akan meneruskan harga jualan runcit beras putih tempatan kepada RM2.60 setiap kg dengan menyerap kira-kira RM150 juta kos pengeluaran selama enam bulan.
Beliau berkata langkah ini memastikan ketersediaan sekitar 24 juta peket beras 10kg di pasaran. Butiran pelaksanaan bagaimanapun sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan tidak lama lagi.
“Justeru, saya mengulangi bahawa kerajaan Madani komited sepenuhnya untuk menjadikan industri padi dan beras tempatan sebagai tunjang keselamatan makanan negara kita,” kata beliau.
Tambahnya, dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua pihak berkepentingan, beliau yakin matlamat ini dapat dicapai demi kesejahteraan generasi semasa dan akan datang. - DagangNews.com








