Kerajaan Selangor batalkan projek ternakan babi Bukit Tagar susulan bantahan ramai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan Selangor batalkan projek ternakan babi Bukit Tagar susulan bantahan ramai

Oleh Mohamad Iman

SHAH ALAM 26 Jan - Kerajaan Selangor terpaksa membatalkan projek ternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor selepas menerima bantahan hebat rakyat dan saranan Perdana Menteri, dan kini menunggu lokasi alternatif atau kaedah lebih sesuai diumumkan.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata keputusan itu dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selepas laporan mengenai reaksi keras komuniti terhadap projek kontroversi itu.

 

Amirudin berkata MMKN telah mengarahkan supaya cari kawasan alternatif sebelum projek diteruskan.

 

 

 

 

 

 

 

Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya projek dibatalkan sementara disambut baik, namun tapak baru atau kaedah lain masih belum diputuskan dan tidak akan diumumkan lagi.

 

Beliau mengakui kerajaan negeri terlalu awal mengumumkan rancangan projek, sehingga mencetuskan kontroversi dan perdebatan awam.

 

"Isu ini belum matang, kelihatan seolah kita nak bina semalam atau hari ini. Kita belajar daripada kesilapan ini, penglibatan pengusaha sepatutnya dibuat dahulu," katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Besar Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Sekysen 7, Shah Alam hari ini.

 

Projek Bukit Tagar dirancang untuk menangani masalah pencemaran di Tanjong Sepat, Kuala Langat, isu yang berlarutan sejak belasan tahun lalu.

 

"Kita ikut nasihat PM kerana isu ini sudah melampaui fakta sebenar. Projek ditangguh dan dibatalkan buat sementara menunggu alternatif tapak atau kaedah lain," kata Menteri Besar lagi.

 

Perdana Menteri menegaskan projek ini mempunyai implikasi persekitaran dan keresahan rakyat pelbagai kaum, dan sebarang keputusan harus dibuat dengan teliti dan berhati-hati.

 

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada 12 Januari lalu dilaporkan murka dengan perancangan kerajaan Selangor membenarkan operasi penternakan babi berskala besar di Tanjong Sepat, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Baginda menzahirkan ketidaksetujuan terhadap projek berorientasikan eksport dan kebimbangan terhadap kesan kepada penduduk Melayu di Kuala Langat, kerana isu penternakan babi di kawasan itu masih belum selesai sejak 2010. - DagangNews.com