KUALA LUMPUR 11 Feb – Kerajaan menyasarkan penjimatan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion pada 2026 hasil daripada penyasaran subsidi RON95 yang lebih tepat dan pengurangan ketirisan melalui pelaksanaan program Budi Madani (BUDI95).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, penjimatan tersebut adalah susulan kejayaan subsidi petrol, diesel dan elektrik secara berfasa tanpa menjejaskan kebajikan rakyat.
“Subsidi pukal yang sebelum ini terus membebankan fiskal negara kini disasarkan kepada golongan yang layak, termasuk rakyat miskin dan pertengahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Fong Kui Lin (PH-Bukit Bintang) yang ingin tahu unjuran jumlah penjimatan dicapai melalui pelaksanaan BUDI95 bagi tahun 2026 serta bagaimana penjimatan tersebut dimanfaatkan dalam sesi pertanyaan lisan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Anwar, BUDI95 membolehkan harga RON95 bersubsidi dinikmati rakyat pada RM1.99 seliter, sementara warga asing dan sektor komersial membayarnya mengikut harga pasaran.
“Sistem ini merekodkan purata sehingga 3.1 juta transaksi sehari, atau 96 juta transaksi sebulan, dengan had 300 liter sebulan bagi setiap pengguna.
“Analisis data menunjukkan purata penggunaan RON95 sekitar 100 liter sebulan, dan 90 peratus pengguna tidak menggunakan lebih daripada 200 liter.
“Selain mengurangkan ketirisan, langkah ini turut membendung sindiket penyeludupan minyak ke negara jiran,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat yang menyalurkan maklumat apabila wujud cubaan pembelian RON95 oleh warga asing.
Tambahnya, hasil penjimatan fiskal daripada BUDI95 telah diagihkan semula untuk membiayai pelbagai bantuan rakyat.
“Antaranya, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua yang bermula 9 Februari lalu, memberikan RM100 kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas melalui MyKad.
“Sejak pelaksanaannya, hampir RM200 juta telah dibelanjakan oleh dua juta rakyat dalam tempoh dua hari, sekali gus menjana limpahan ekonomi kepada peruncit tempatan dan pembekal barangan asas termasuk PKS tempatan.
“Kerajaan Madani kekal berpegang kepada prinsip bahawa pertumbuhan mesti dipacu oleh reformasi dan reformasi mesti berpaksikan kesejahteraan rakyat. Lebihan fiskal hasil reformasi tidak hilang, tetapi dipulangkan semula kepada rakyat,” jelasnya.
Langkah ini diharap bukan sahaja meringankan kos sara hidup rakyat, malah memperkukuh bantuan bersasar kepada golongan B40 dan M40, sambil memastikan reformasi fiskal negara berterusan. - DagangNews.com








