Kerajaan negeri Pahang salur RM1 juta ringankan beban kewangan 10,000 anak perantau pulang beraya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan negeri Pahang salur RM1 juta ringankan beban kewangan 10,000 anak perantau pulang beraya

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac – Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM1 juta sebagai tanda keprihatinan kepada rakyatnya yang merantau jauh dengan memperkenalkan inisiatif khas bagi membantu persiapan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

 

Program ini menyediakan bantuan balik kampung dalam bentuk baucar raya untuk memudahkan perjalanan dan perbelanjaan perayaan kepada 10,000 penerima yang layak.

 

Tahun ini, penerima manfaat program tersebut memperoleh RM100 setiap seorang melalui baucar raya ‘Moh Balik Negeri Pahang’ agar mereka dapat pulang beraya bersama keluarga tanpa terbeban dengan kos tambahan. 

 

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy berkata ini adalah tahun ketiga program tersebut dilaksanakan sejak ia bermula pada tahun 2024.

 

“Kalau pada tahun 2024 dan 2025, Kerajaan Negeri beri baucar petrol atau diesel RM50 kepada 5,000 penerima, tahun ini kita tingkatkan lagi bantuan ini.

 

“Untuk tahun ini, baucar diberikan dalam bentuk pembelian barangan melalui e-wallet PahangGo, dengan nilai RM100 seorang dan jumlah penerima juga kita tambah kepada 10,000 orang anak Pahang di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Daripada jumlah itu, 2,000 penerima menerima baucar tersebut pada majlis di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur, manakala 8,000 lagi akan menerima baucar melalui penyerahan oleh kepimpinan negeri di kampung halaman masing-masing di Pahang.

 

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus berusaha menyantuni anak-anak Pahang walau di mana pun mereka berada dengan pelbagai program akan terus dibuat bagi mengeratkan hubungan silaturrahim antara Kerajaan Negeri dengan perantauan.

 

“Peningkatan jumlah bantuan ini dibuat berikutan kedudukan kewangan negeri yang semakin baik dan kukuh,” katanya.
Proses pemilihan penerima dilaksanakan dengan teliti melalui sekretariat khas yang menguruskan hal-hal berkaitan warga perantau. 

 

Kriteria pemilihan memastikan bantuan diagihkan secara adil kepada mereka yang benar-benar layak. - DagangNews.com