Kerajaan kekal hormat kebebasan media, tidak akan ambil tindakan terhadap laporan berbeza pandangan, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan kekal hormat kebebasan media, tidak akan ambil tindakan terhadap laporan berbeza pandangan, Parlimen diberitahu

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 12 Nov – Kerajaan tidak akan menekan atau mengambil tindakan terhadap mana-mana organisasi media walaupun tidak bersetuju dengan laporan mereka, sejajar dengan komitmen untuk menegakkan kebebasan media di negara ini.

 

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pendekatan kerajaan ketika ini berbeza daripada amalan terdahulu kerana kerajaan lebih memilih untuk menyatakan pendiriannya secara terbuka tanpa menyekat kebebasan media.

 

“Jika kerajaan memanggil MalaysiaKini untuk memberi kenyataan, saya percaya pihak lawan akan menuduh kerajaan tidak menghormati kebebasan media.

 

“Justeru, walaupun ada artikel atau kandungan yang kita tidak bersetuju, kita hanya menyatakan pendirian. Itu tidak bermaksud kerajaan perlu memanggil mereka setiap kali. Inilah perbezaan paling ketara antara kerajaan dan pihak sebelah sana,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Perikatan Nasional–Pasir Mas) di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Ahmad Fadhli membangkitkan isu laporan MalaysiaKini yang mendakwa kewujudan 263 akaun palsu kononnya digunakan untuk meningkatkan sokongan dalam talian kepada Perdana Menteri.

 

Menjelaskan perkara itu, Nie Ching berkata, syarikat Meta turut mengeluarkan kenyataan tiada aktiviti luar biasa dikesan berkaitan dakwaan berkenaan.

 

“Pertama sekali, Meta telah mengeluarkan kenyataan tiada aktiviti luar biasa dikesan. Itu penjelasan daripada Meta. Jika memang ada akaun palsu, saya tidak menafikannya kerana saya sendiri sering menyebut bahawa banyak akaun palsu diwujudkan untuk tujuan penipuan,” katanya.

 

Beliau menegaskan kerajaan sentiasa menghormati prinsip kebebasan media sebagai tunjang kepada sistem demokrasi negara, namun kebebasan itu mesti diamalkan secara bertanggungjawab dan berlandaskan etika kewartawanan profesional.

 

Menurutnya, Majlis Media Malaysia kini berperanan memastikan pengamal media mematuhi etika dan piawaian kewartawanan profesional selepas ia ditubuhkan di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025 (Akta 868) yang berkuat kuasa pada 14 Jun lalu.

 

“Majlis Media Malaysia secara rasmi ditubuhkan tahun ini selepas Akta 868 berkuat kuasa dan telah mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) pertama pada 7 November 2025.

 

“Dalam AGM itu, kod etika dan mekanisme aduan turut diluluskan dengan pindaan, menandakan langkah penting ke arah pembinaan ekosistem media yang lebih kukuh, beretika dan diyakini masyarakat,” katanya.

 

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasni Mohammad (Barisan Nasional–Simpang Renggam), Nie Ching berkata, kementerian sentiasa bekerjasama dengan agensi lain bagi menyampaikan maklumat dasar dan inisiatif kerajaan kepada rakyat, termasuk melalui Jabatan Penerangan (JaPen).

 

“Sebagai contoh, kita mempunyai JaPen Digital, yang secara konsisten dan strategik menyebarkan maklumat terperinci mengenai inisiatif serta pencapaian kerajaan, termasuk fakta bagi menangkis dakwaan palsu atau fitnah,” katanya.

 

Katanya lagi, bagi membantu orang ramai membezakan antara berita benar dan palsu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membangunkan Artificial Intelligence Fact Check Assistant (AIFA) yang membolehkan pengguna mengesahkan kesahihan maklumat melalui WhatsApp.

 

“Sejak pelancaran rasminya pada 28 Januari hingga 31 Oktober, AIFA telah menerima purata 760 mesej sehari, menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia sedar tentang kewujudannya,” katanya. - DagangNews.com