Kerajaan kaji semula pelaksanaan cukai karbon susulan tekanan geopolitik – Arthur Joseph | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan kaji semula pelaksanaan cukai karbon susulan tekanan geopolitik – Arthur Joseph

KUALA LUMPUR 14 April – Kerajaan sedang mengkaji semula pelaksanaan cukai karbon negara susulan tekanan geopolitik semasa yang memberi kesan kepada kos operasi industri, kata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

 

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, walaupun pelaksanaan cukai karbon sebelum ini dirancang tahun ini, kerajaan mengambil kira sensitiviti industri terhadap peningkatan kos tenaga termasuk petrol dan diesel.

 

“Disebabkan situasi geopolitik semasa, kita mungkin perlu menilai semula dari segi masa dan kadar pelaksanaan cukai karbon,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada media di luar acara pra-pelancaran International Sustainability Week (ISW), hari ini.

 

Menurutnya, meskipun pelaksanaan cukai karbon mungkin disemak semula, Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara tetap akan dibentangkan tahun ini sebagai langkah penting dalam membentuk rangka kerja dasar.

 

“Kita tetap perlu bergerak ke arah tenaga boleh diperbaharui kerana bahan api fosil adalah sumber terhad, dan keadaan semasa bukan alasan untuk memperlahankan usaha peralihan,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata pelbagai inisiatif termasuk kerjasama industri, penggunaan teknologi baharu serta insentif kerajaan akan terus diperkukuh bagi menyokong agenda kelestarian.

 

Kerajaan juga menggalakkan sektor pembinaan dan industri lain untuk mengamalkan amalan hijau melalui program yang menyokong pengurangan pelepasan karbon.

 

Antara inisiatif tersebut ialah Global Carbon Cities Challenge yang dilaksanakan oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), yang melibatkan kerjasama antara industri dan pihak berkuasa tempatan.

 

Arthur berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM419 bilion di bawah Belanjawan 2026 bagi pelbagai inisiatif berkaitan, termasuk insentif cukai untuk menggalakkan penyertaan industri.

 

“Buat masa ini tiada penalti ketat dikenakan, namun langkah ke arah penguatkuasaan peraturan dan pematuhan akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya. - BERNAMA