Kepercayaan rakyat terhadap media tempatan pada 2024 meningkat - Kajian Ipsos Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kepercayaan rakyat terhadap media tempatan pada 2024 meningkat - Kajian Ipsos Malaysia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Mac - Tahap kepercayaan rakyat negara ini terhadap media tempatan meningkat pada 2024 berbanding tahun sebelumnya, menurut hasil kajian terbaharu oleh Ipsos Malaysia.

 

Penemuan itu mendapati, industri media juga menjadi satu-satunya sektor yang menunjukkan peningkatan kepercayaan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan pertambahan sebanyak empat mata.

 

Laporan itu juga mencatatkan penurunan ketara dalam tahap kepercayaan pengguna Malaysia terhadap syarikat-syarikat korporat.

 

"Setelah tiga tahun mencatat paras stabil pada 56 mata antara 2021 dan 2023, tahap kepercayaan keseluruhan terhadap syarikat korporat menurun sebanyak tujuh mata pada tahun 2024," kata Pengarah Negara Sementara Ipsos Malaysia, Evelyn Tan.

 

Beliau mengaitkan keadaan itu dengan boikot berterusan berkaitan konflik Israel-Palestin yang memberi kesan kepada syarikat-syarikat korporat.

 

Katanya, sokongan rakyat Malaysia terhadap Palestin telah mendorong boikot pengguna terhadap syarikat-syarikat yang dianggap mempunyai hubungan atau menyokong Israel, memberi kesan besar kepada jenama global dalam industri makanan dan minuman.

 

Tan dalam pada itu berkata, industri penerbangan dan rangkaian restoran QSR Brands (M) Holdings Bhd, paling kurang mendapat kepercayaan rakyat Malaysia apabila mencatat penurunan paling ketara iaitu sebanyak 17 mata.

 

Tambah beliau, sektor peranti dan e-dagang mencatat rekod yang lebih baik, dengan kadar penurunan kepercayaan yang lebih perlahan berbanding sektor lain seperti utiliti, telekomunikasi dan barangan pengguna bergerak pantas.

 

"Industri automotif juga mencatatkan perkembangan yang menarik, dengan Perodua, Proton dan Honda muncul antara lima jenama paling dipercayai, menunjukkan perubahan dalam keyakinan pengguna," ujarnya.

 

Beliau berkata, Apple muncul sebagai entiti yang paling dipercayai daripada lebih 160 jenama dalam kajian Ipsos Malaysia pada tahun lalu, diikuti Perodua dan Proton.

 

TNB, yang merupakan entiti paling dipercayai pada tahun 2023, kini berkongsi kedudukan dengan Shopee dan Honda dengan indeks kepercayaan sebanyak 70. - DagangNews.com