Kepakaran, reputasi - faktor syarikat Turkiye diberi kepercayaan bina kapal Maritim Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kepakaran, reputasi - faktor syarikat Turkiye diberi kepercayaan bina kapal Maritim Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Erdogan melihat model kapal MPMS selepas majlis menandatangani MoU di Putrajaya semalam.
Oleh Zaki Salleh

Pemilihan syarikat Desan Shipyard dari Turkiye bagi membina kapal baharu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berdasarkan merit selain kepakaran.

 

Ini kerana keupayaan syarikat berkenaan dalam industri pertahanan negara itu diiktiraf di peringkat global.

 

Sehubungan itu, perolehan kapal induk baharu buatan Turkiye ini adalah sebagai langkah strategik memperkukuh keupayaan pertahanan dan penguatkuasaan maritim negara.

 

 

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah berkata, perolehan kapal misi pelbagai guna (MPMS) merupakan keputusan tepat kerajaan Madani dalam menangani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

 

Kapal
Mohd Rosli menunjukkan model kapal MPMS yang menjadi aset baharu Maritim Malaysia.

 

Tegas beliau, perolehan kapal MPMS ini menandakan satu lonjakan besar dalam keupayaan operasi Maritim Malaysia.

 

Beliau turut memaklumkan, kapal berteknologi tinggi ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun 2027 dan bakal menjadi aset penting dalam mengawal perairan negara.

 

“Dilengkapi spesifikasi canggih, MPMS mampu beroperasi selama 30 hari tanpa henti, selain dilengkapi aset moden iaitu empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV), serta turut mempunyai geladak pendaratan helikopter fasiliti perubatan dan pusat tahanan.

 

“Kapal sepanjang 99 meter ini boleh membawa 70 kru dan 30 penumpang, ia akan memberi tumpuan kepada pengawasan di Laut China Selatan khususnya dalam menangani pencerobohan kapal asing, aktiviti penangkapan ikan haram, serta membanteras jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kapal
Dua kapal OPV Tentera Laut Nigeria yang dibina Desan Shipyard.

 

Kapal

 

Mohd Rosli turut memaklumkan, pemeteraian perjanjian ini sejajar dengan usaha Malaysia untuk memperkukuh keselamatan maritim menerusi kerjasama antarabangsa.

 

Katanya lagi, dengan termeterainya perjanjian ini Maritim Malaysia optimis hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye dalam sektor pertahanan maritim akan terus diperkukuh, sekali gus memberi manfaat besar kepada keselamatan dan kestabilan perairan negara.

 

Terdahulu, Memorandum persefahaman (MoU) bagi perolehan kapal tersebut dimeterai semalam antara kerajaan Malaysia dan syarikat terbabit.

 

Ia dimeterai antara Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman dengan Pengerusi Lembaga Desan Shipyard, Cenk Ismail Kaptanoğlu. 

 

Ini antara 11 MoU yang ditandatangani antara Malaysia dan Turkiye semasa lawatan rasmi Presiden Recep Tayyip Erdogan ke negara ini.

 

Kapal
OPV KM Tun Fatimah.

 

Kapal

 

Erdogan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut.

 

Kerajaan pada Oktober tahun lalu mengumumkan sebuah kapal misi pelbagai guna serta 2 kapal ronda generasi baru antara aset akan diperoleh APMM melalui peruntukan Belanjawan 2025.

 

Difahamkan, pembinaan kapal MPMS yang menelan belanja RM350 juta ini menjadikan ia aset terbesar APMM selepas kapal ronda pesisir (OPV) sedia ada.

 

Pemilihan ini menjadikan Desan Shipyard sebagai syarikat perkapalan kedua mendapat kontrak membina kapal bagi pasukan keselamatan Malaysia selepas Savunma Teknolojieri Muhendiskil (STM).

 

Pada Jun tahun lalu, kerajaan memilih STM bagi membina kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai lebih RM2 bilion.

 

Tiga kapal LMS berdasarkan rekaan korvet kelas Ada dibina syarikat STM yang mana pemotongan besi kapal pertama telah pun dimulakan. - DagangNews.com