Kenneth Vun kini Pengarah Urusan di Symphony Life, XOX | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenneth Vun kini Pengarah Urusan di Symphony Life, XOX

Datuk Kenneth Vun Yun Liun/Gambar KL Screener

KUALA LUMPUR 27 Mac - Pemaju hartanah, Symphony Life Bhd, melantik Datuk Kenneth Vun Yun Liun sebagai Pengarah Urusan baharunya.

 

Pelantikan itu dibuat kurang sebulan selepas XOX Bhd, pemegang saham terbesar Symphony Life dengan pegangan 14.84%, melantik beliau juga sebagai Pengarah Urusan pada 28 Februari 2025.

 

"Yun Liun adalah pemegang saham terbesar XOX, dengan pegangan sebanyak 8.74% yang dimiliki melalui syarikatnya, VCAP Global Inc. 

 

"Pemegang saham utama lain XOX termasuk Lazarus Securities Pty Ltd dengan pegangan 8.46% dan Key Alliance Group Bhd dengan pegangan 6.34%," katanya dalam satu kenyataan.

 

Selain Symphony Life, XOX juga memiliki kepentingan ekuiti dalam Cheetah Holdings Bhd (20.85%), XOX Technology Bhd (25.95%) dan Jadi Imaging Holdings Bhd (21.6%).

 

Pemegang saham utama lain di Symphony Life termasuk syarikat perkhidmatan kewangan Sanston Financial Group Ltd dengan pegangan 4.89% dan Morgan Stanley & Co International Plc (4.75%).

 

Kedua-dua Symphony Life dan XOX mencatatkan kerugian.

 

XOX melaporkan kerugian dalam lapan daripada sembilan tahun kewangannya yang lalu. 

 

Untuk suku pertama yang berakhir 31 Disember 2024 (1QFY2025), kerugian bersih syarikat meningkat kepada RM21.17 juta berbanding RM18.67 juta pada tahun sebelumnya, manakala hasil hampir tidak berubah pada RM62.16 juta.

 

Symphony Life pula mencatatkan kerugian dalam dua tahun kewangan yang lalu. 

 

Untuk sembilan bulan berakhir 31 Disember 2024 (9MFY2024), kerugiannya meningkat dengan ketara kepada RM7.64 juta berbanding RM462,000 pada 9MFY2023, manakala hasil jatuh kepada RM25 juta berbanding RM62.99 juta.

 

Yun Liun adalah bekas Pengarah Urusan dan pemegang saham FTEC Resources Bhd, yang kemudiannya dikenali sebagai Tecasia Bhd dan kemudian Mangotone Bhd, sebelum dinyahsenarai dari Bursa Malaysia pada 2010. - DagangNews.com