Kenanga Research potong unjuran pendapatan Thong Guan pada FY25 kesan peningkatan kos | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research potong unjuran pendapatan Thong Guan pada FY25 kesan peningkatan kos

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mac - Kenanga Research mengurangkan unjuran pendapatan FY25 Thong Guan Industries Bhd sebanyak 22% selepas mengambil kira jualan lebih rendah untuk filem regangan dan peningkatan kos buruh serta utiliti.

 

Katanya, untung bersih teras Thong Guan pada FY24 sebanyak RM68.9 juta berada di bawah jangkaan dan membentuk hanya 80% daripada ramalan tahun penuh dan anggaran konsensus.

 

Bagaimanapun, untung bersih kumpulan susut 18% apabila margin terkesan akibat purata harga jualan (ASP) lebih rendah dan peningkatan kos buruh dan utiliti.

 

"Keuntungan bersih 4QFY24 menyaksikan penurunan yang lebih besar sebanyak 24%, kami percaya, diburukkan lagi oleh peningkatan kos buruh dan utiliti. 

 

"Margin untung kasar susut kepada 4.9% pada 4QFY24, walaupun kami meramalkan ia akan menjadi normal memandangkan pengembangannya menjadi produk premium," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, usaha kumpulan dalam pembangunan hartanah seharusnya membantu mengimbangi kehilanan pendapatan daripada penjualan egmen makanan dan minuman (F&B) yang sebelum ini menyumbang purata keuntungan kasar sebanyak RM10 juta bagi tempoh tiga tahun lalu.

 

Katanya, di peringkat global, potensi kesan daripada tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas pengeksport Malaysia mungkin tidak besar kerana pasaran AS menyumbang tidak lebih daripada 10% daripada jumlah hasil Tong Guan.

 

"Secara keseluruhan, walaupun kos operasi domestik meningkat, kami tetap yakin dengan kemampuan daya saing dan propek pertumbuhan jangka panjang kumpulan.

 

"Kumpulan memiliki aliran tunai bersih dan skala perniagaan yang baik selain bersedia memasuki pasaran baharu.

 

"Pendekatan pemasaran yang kukuh seharusnya memberi kelebihan kepada syarikat itu dalam menarik pelanggan baharu," katanya. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM2.05 sesaham.- DagangNews.com