Kenanga Research positif terhadap prospek sektor perladangan didorong harga minyak sawit mentah tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research positif terhadap prospek sektor perladangan didorong harga minyak sawit mentah tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mac - Kenanga Research positif terhadap prospek sektor perladangan didorong harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi dan defisit bekalan global berterusan walaupun eksport lebih lemah.

 

Katanya, data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan inventori minyak sawit jatuh kepada 1.512 juta tan metrik pada Februari 2025, turun 4% bulan ke bulan dan 21% tahun ke tahun.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun masih jauh di bawah purata 10 tahun, angka itu berada dalam 1% daripada konsensus pasaran dan 8% di atas ramalan.

 

“Hujan lebat, bulan bekerja yang lebih singkat, dan cuti Tahun Baharu Cina menjejaskan pengeluaran MSM, yang merosot 4% dari bulan ke bulan dan 6% dari tahun ke tahun.

 

“Eksport juga jatuh mendadak dari bulan ke bulan tetapi sebahagian besarnya kekal tidak berubah dari tahun ke tahun kerana kenaikan harga MSM sebanyak RM4,759 setiap tan metrik.

 

"Harga itu naik 2% daripada bulan sebelumnya dan 20% lebih tinggi daripada setahun lalu mendorong pembeli, termasuk India, beralih kepada alternatif yang lebih murah seperti minyak bunga matahari dan minyak kacang soya,” katanya dalm satu nota kajian.

 

Kenanga Research menjangkakan harga MSM pada purata antara RM4,600 dan RM4,700 setiap tan metrik pada suku pertama 2025, melebihi ramalan awalnya pada awal tahun.

 

“Oleh itu, kami telah menaikkan andaian harga MSM pada 2025 daripada RM4,000 kepada RM4,200 setiap tan metrik berikutan musim laporan akhir Februari 2025.

 

“Bagaimanapun, kami mengekalkan jangkaan harga MSM pada purata RM4,000 setiap tan metrik pada 2026 memandangkan premium harga berbanding minyak sayuran lain mengecil,” katanya.

 

Firma penyelidikan menekankan, defisit bekalan terus mengekalkan harga minyak makan yang tinggi, dengan indeks harga minyak sayuran Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) untuk Februari 2025 meningkat 2% dari bulan ke bulan dan 25% dari tahun ke tahun.

 

Katanya, hasil tuaian Malaysia yang lemah dan ancaman serangan ulat bulu telah menyokong harga minyak sawit, manakala premium harga MSM kepada minyak kacang soya kekal lekat tetapi dijangka menyusut apabila harga MSM berkurangan dan harga minyak kacang soya kekal kukuh atau meningkat.

 

“Secara keseluruhan, minyak makan kekal tinggi walaupun harga minyak sawit lemah baru-baru ini, dengan harga purata MSM 2024 – 2025 pada RM4,000 setiap tan metrik.

 

"Penyatuan selanjutnya dijangka merentasi pelbagai minyak makan, walaupun tinjauan keseluruhan kekal kukuh berikutan defisit bekalan yang berterusan," katanya. - DagangNews.com