Kenanga Investment tawar waran berstruktur baharu pasaran saham Hong Kong | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Investment tawar waran berstruktur baharu pasaran saham Hong Kong

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Julai - Kenanga Investment Bank Bhd melancarkan rangkaian waran berstruktur baharu di Bursa Malaysia yang menawarkan pelabur Malaysia akses langsung ke pasaran global melalui pendedahan kepada dua indeks ekuiti utama Hang Seng di Hong Kong.

 

Dua waran berstruktur baharu tersebut adalah Indeks Teknologi Hang Seng (HSTECH) dan Indeks Perusahaan China Hang Seng (HSCEI).

 

Dengan HSCEI dan HSTECH kini tersenarai di Bursa Malaysia, pelabur Malaysia akan memperoleh akses yang lebih pelbagai kepada dua indeks paling berpengaruh di Hong Kong, sekali gus membuka peluang baharu untuk menyertai sektor kewangan dan teknologi China.

 

HSTECH mencerminkan pertumbuhan syarikat teknologi terkemuka China seperti Tencent, Meituan, Xiaomi dan JD.com. Dengan tumpuan kepada teknologi dan inovasi yang pesat berkembang, HSTECH amat sesuai untuk pedagang yang berminat dengan pelaburan risiko yang tinggi dan mencari peluang dalam persekitaran yang lebih mencabarl dan berpotensi tinggi untuk pertumbuhan.

 

HSCEI menjejak prestasi syarikat-syarikat besar dari tanah besar China yang tersenarai di Hong Kong, termasuk gergasi kewangan dan infrastruktur seperti ICBC, China Construction Bank, PetroChina, dan Ping An Insurance. Ia berfungsi sebagai penanda aras utama untuk menilai prestasi syarikat milik kerajaan terbesar China.

 

Pelancaran waran berstruktur HSCEI dan HSTECH dijangka dapat memperluas penyertaan pasaran, mempelbagaikan penawaran produk, dan meningkatkan keseluruhan kecairan pasaran – terutamanya dalam kalangan pedagang runcit yang sudah biasa dengan waran Indeks Hang Seng.

 

Syarikat tersebut menekankan kedudukan kukuhnya dalam pasaran waran berstruktur, dengan mencatatkan pegangan pasaran sebanyak 64% dalam waran Indeks Hang Seng.

 

Pada tahun 2024, waran berstruktur di Bursa Malaysia mencatatkan jumlah dagangan sebanyak RM30.3 bilion, iaitu kira-kira 4% daripada jumlah keseluruhan dagangan pasaran bursa sebanyak RM848.7 bilion.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Chay Wai Leong berkata, pelancaran waran berstruktur itu merupakan pencapaian penting dalam usaha syarikat untuk menjadikan akses ke pasaran global lebih inklusif dan mudah dicapai.

 

“Sebagai penerbit utama di Malaysia, Kenanga kekal komited memacu inovasi, memperluas peluang pelabur, dan membentuk masa depan waran berstruktur.

 

“Inisiatif ini mencerminkan visi jangka panjang kami untuk memperkasa generasi baharu pedagang sambil mengukuhkan kepimpinan kami dalam pasaran modal serantau,” katanya dalam satu kenyataan.- DagangNews.com