Kenanga Investment Bank laksanakan peralihan digital untuk pertumbuhan berterusan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Investment Bank laksanakan peralihan digital untuk pertumbuhan berterusan

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 27 Feb - Kenanga Investment Bank Bhd (KIBB) akan memberi tumpuan untuk mengembangkan perniagaan terasnya sambil mempercepatkan peralihan digital.

 

Pengarah Urusan Kumpulan KIBB, Datuk Chay Wai Leong berkata, dengan memperkukuh aliran pendapatan berulang, mengoptimumkan kecekapan kos dan memperluaskan tawaran produk, kumpulan akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan jangka panjang.

 

"Prestasi kukuh kumpulan didorong oleh keuntungan penilaian semula dalam pelaburan strategik melalui cabang ekuiti swasta, pendapatan perdagangan dan pelaburan yang lebih tinggi, pendapatan broker bersih dan yuran pengurusan serta prestasi.

 

"Sumbangan yang meningkat daripada rakan kongsi turut mengukuhkan prestasi kumpulan, yang sebahagiannya diimbangi dengan perbelanjaan kerugian kredit," katanya dalam satu kenyataan.

 

Bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2024, keuntungan bersih KIBB meningkat kepada RM48.95 juta berbanding RM22 juta pada 2023, manakala hasil meningkat kepada RM326.5 juta berbanding RM223.3 juta tahun sebelumnya.

 

Dalam tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024 (FY24), keuntungan bersih KIBB meningkat kepada RM95.76 juta berbanding RM72.64 juta pada tempoh yang sama tahun lalu, manakala hasil berkembang kepada RM1 bilion berbanding RM821.06 juta sebelumnya.

 

KIBB juga mengisytiharkan dividen interim tunggal sebanyak 8.00 sen sesaham biasa bagi FY24. -DagangNews.com