KUALA LUMPUR 4 Mac – Syarikat perladangan tersenarai di Malaysia dijangka muncul penerima manfaat utama susulan kenaikan levi eksport minyak sawit Indonesia kepada 12.5% mulai 1 Mac 2026.
Menurut CGS International (CGSI), langkah negara jiran tersebut mewujudkan jurang harga jualan purata (ASP) untuk minyak sawit mentah (MSM) yang lebih memihak kepada para pemain tempatan.
Tindakan republik berkenaan menaikkan levi daripada 10% itu dijangka mengurangkan ASP bersih MSM pemain huluan Indonesia sekitar 3%, sekali gus meningkatkan daya saing relatif pengeluar Malaysia.
“Kami terus menggemari pemain huluan tulen Malaysia kerana mereka berpotensi merekodkan ASP MSM bersih lebih tinggi berbanding syarikat Indonesia yang menanggung levi lebih besar,” katanya.
Tambah CGSI dalam nota penyelidikan hari ini, kenaikan levi tersebut turut selaras dengan jangkaan pasaran dan dipercayai bertujuan mengukuhkan simpanan biodiesel Indonesia bagi kegunaan domestik.
Kesan langsungnya jelas firma berkenaan, pemain huluan Indonesia yang kelaziman menyerap levi eksport sebelum menjual kepada penapis hiliran, dan kali ini menjejaskan ASP bersih mereka sendiri.
Bagaimanapun tambahnya, margin penapisan berpotensi mendapat manfaat besar daripada pelebaran jurang harga MSM mentah dan produk ditapis, meskipun dilihat seperti menekan ekonomi biodiesel.
"Kami mengekalkan unjuran harga MSM bagi FY26 pada RM4,500 satu tan, mengambil kira pertumbuhan bekalan global sederhana 2% tahun ke tahun (YoY) serta jangkaan permintaan biodiesel," kata CGSI.
Firma itu namun menyemak turun unjuran hasil FY26 antara 2% hingga 12% bagi syarikat perladangan di Malaysia, Singapura dan Indonesia di bawah liputannya, bagi mencerminkan impak levi lebih tinggi.
Ia juga berpandangan risiko kos baja masih terkawal memandangkan kebanyakan pemain memperoleh bekalan melalui tender separuh tahunan, manakala harga tenaga hanya memberi tekanan margin.
Dalam kalangan syarikat Malaysia, CGSI menggemari Hap Seng Plantations Holdings Berhad dan Ta Ann Holdings Berhad sebagai pilihan utama berikutan profil huluan yang tulen dan kelebihan ASP relatif.
"SD Guthrie Berhad pula dilihat menawarkan leveraj kepada harga MSM yang tinggi secara berterusan serta potensi pengewangan aset bukan teras pada FY26," kata firma penyelidikan berkenaan lagi.
Bagi syarikat berpangkalan di Singapura, ia menyukai First Resources Limited susulan profil hasil hiliran berdaya tahan, manakala Bumitama Agri kekal menarik dari segi hasil dividen diunjur 7%.
Di Indonesia, Dharma Satya Nusantara menjadi pilihan utama berdasarkan trajektori pertumbuhan, diikuti Triputra Agro Persada yang menawarkan sokongan hasil dividen dan profil estet yang stabil.
CGSI turut memberi amaran antara risiko penurunan termasuk lebihan bekalan kacang soya global, dengan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (AS) mengunjurkan pengeluaran rekod untuk tahun keempat.
"Selain itu, permintaan lemah minyak sayuran di China serta inventori meningkat sejak April 2025 boleh mengehadkan kuasa penentuan harga minyak sawit, khususnya pasaran sensitif harga," katanya.
Secara keseluruhan, ia mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor perladangan, dengan potensi kenaikan harga minyak mentah global dan bekalan MSM yang lebih ketat. - DagangNews.com








