Kenaikan harga minyak tingkatkan hasil cukai jualan petroleum Sarawak, sumbang banyak dana pembangunan - Premier Abang Johari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan harga minyak tingkatkan hasil cukai jualan petroleum Sarawak, sumbang banyak dana pembangunan - Premier Abang Johari

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 26 Mei — Kenaikan harga minyak global dijangka memberi limpahan positif kepada kewangan Sarawak apabila hasil cukai jualan ke atas produk petroleum itu berpotensi meningkat.

 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkembangan positif tersebut sekali gus memperkukuh keupayaan kerajaan negeri untuk membiayai pelbagai projek pembangunan strategik.


Sebagai negeri pengeluar minyak dan gas utama negara, Sarawak dijangka meraih manfaat peningkatan harga komoditi itu walaupun pasaran tenaga dunia masih berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik.


"Kerajaan negeri turut bekerjasama dengan pelbagai syarikat minyak dan gas (O&G) antarabangsa dalam aktiviti penerokaan bagi memastikan potensi sumber hidrokarbon dapat dimanfaatkan," katanya.


Menurut Abang Johari, hasil cukai jualan negeri sebanyak 5% ke atas petroleum menyumbang antara RM2.5 bilion hingga RM4.8 bilion setahun, yang bergantung kepada pergerakan harga pasaran global.


Bagi Belanjawan Sarawak 2026, negeri itu mengunjurkan hasil keseluruhan RM13 bilion termasuk RM3.5 bilion dari cukai jualan ke atas minyak mentah, gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum lain.


Berdasarkan kepada perkembangan tersebut jelas beliau, dengan pembangunan secara berterusan sektor O&G, Sarawak berupaya dalam menjana pendapatan jangka panjang yang lebih kukuh pada masa hadapan.


"Hasil yang lebih tinggi bermakna kapasiti semakin besar untuk kerajaan negeri dapat melaksanakan banyak pembangunan terbaik demi kesejahteraan rakyat di seluruh negeri ini,” kata Abang Johari.


Beliau menyatakan demikian selepas hadir menyaksikan majlis pemeteraian kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) antara PTTEP Sarawak Oil Ltd dan Brooke Holding Sdn Bhd di Kuching.

 

Sarawak_DagangNews2026



Kontrak bagi pembangunan platform pengeluaran Sirung bernilai hampir RM1 bilion itu dianugerahkan kepada Brooke Holding pada 5 Februari 2026 dan dijangka mampu disiapkan menjelang Februari 2028.


Abang Johari turut memaklumkan, Sarawak akan meneruskan usaha meneroka kawasan berpotensi baharu termasuk perairan luar pesisir di bahagian barat yang masih belum diterokai secara menyeluruh.


"Teknologi penerokaan yang terkini mampu membantu kerajaan negeri dalam mengenal pasti rizab O&G baharu serta berpotensi meningkatkan lagi pengeluaran di Sarawak pada masa depan," jelasnya.


Dalam perkembangan sama, projek Sirung-Chenda yang dibangunkan oleh PTTEP disasarkan memulakan pengeluaran pertama pada 2028 dengan kapasiti gabungan kira-kira 15,000 tong minyak sehari.


Projek tersebut direka menggunakan teknologi operasi luar pesisir secara kawalan jauh serta sifar pembakaran rutin, sejajar dengan aspirasi Sarawak membangunkan industri tenaga dan rendah karbon.


Terletak kira-kira 140 kilometer dari kompleks Malaysia LNG di Bintulu, medan Sirung akan disokong oleh platform pengeluaran baharu bagi memudahkan operasi pengeluaran di blok luar pesisir SK405B.


Dengan struktur atas dan substruktur seberat kira-kira 8,500 tan metrik, projek itu merupakan antara kontrak terbesar pernah dilaksanakan oleh Brooke Holding setakat ini. - DagangNews.com