Kenaikan campuran biodiesel kepada B15 beri manfaat kepada pengeluar, impak minimum kepada industri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan campuran biodiesel kepada B15 beri manfaat kepada pengeluar, impak minimum kepada industri

Imej dijana Kecerdasan Buatan.

KUALA LUMPUR 29 April - Keputusan kerajaan menaikkan kandungan minyak sawit dalam campuran biodiesel daripada 10% kepada 15% dijangka memberi manfaat ketara kepada pengeluar, namun impaknya kepada pengguna industri dilihat minimum, menurut kumpulan berkepentingan industri.

 

Presiden Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA), Tee Lip Teng berkata langkah tersebut akan meningkatkan permintaan biodiesel tempatan sekali gus membantu mengurangkan lebihan kapasiti pengeluaran industri sedia ada.

 

Beliau berkata, peningkatan mandat campuran kepada B12 dan seterusnya B15 berpotensi menjana permintaan tambahan sehingga 334,000 metrik tan setahun, berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

 

“Ini akan meningkatkan kadar penggunaan loji biodiesel sedia ada dan membantu industri menghadapi ketidaktentuan bekalan bahan api global,” katanya lapor FMT.

 

Malaysia ketika ini menghasilkan hampir satu juta tan biodiesel setahun di bawah mandat semasa, namun jumlah itu masih di bawah separuh daripada kapasiti pengeluaran industri yang mencecah 2.4 juta tan setahun.

 

Daripada jumlah tersebut, sekitar 95% digunakan di dalam negara, manakala eksport kekal rendah pada sekitar 57,000 tan sahaja.

 

Tee berkata penggunaan biodiesel di luar mandat masih terhad dan kebanyakannya dipacu oleh komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) atau kelebihan harga jangka pendek.

 

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pengecualian cukai jualan 10% ke atas biodiesel yang digunakan di luar program biodiesel nasional bagi menggalakkan penggunaan lebih meluas.

 

Sementara itu, Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Jacob Lee berkata kesan campuran biodiesel terhadap kos bahan api industri adalah marginal kerana harga diesel masih ditentukan oleh pasaran global.

 

“Pengilang beroperasi dalam persekitaran harga bahan api berasaskan pasaran kerana tiada subsidi diesel diberikan kepada sektor pembuatan,” katanya.

 

Beliau menambah, isu utama industri bukan pada kos, tetapi pada kebolehpercayaan dan kestabilan bekalan tenaga.

 

Dalam pada itu, pengguna turut diingatkan bahawa biodiesel tidak semestinya lebih murah berbanding diesel petroleum kerana kos pengeluaran turut dipengaruhi harga minyak sawit semasa.

 

Bagaimanapun, peningkatan campuran sawit dalam biodiesel dilihat dapat membantu memperkukuh keselamatan bekalan tenaga negara serta mengurangkan kebergantungan kepada import bahan api.

 

“Bagi setiap satu metrik tan minyak sawit digunakan dalam campuran, satu metrik tan diesel petroleum dapat dijimatkan,” kata Tee, sambil menegaskan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar utama minyak sawit menjamin kestabilan bekalan domestik. - DagangNews.com