KUALA LUMPUR 24 Jun - Hibiscus Petroleum Bhd berpotensi mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 20% bagi setiap kenaikan AS$5 setong bagi harga minyak mentah Brent, kata CGS International.
Katanya, Hibiscus merupakan syarikat yang paling sensitif terhadap pergerakan harga minyak dalam kalangan syarikat yang berada dalam liputan mereka.
“Hibiscus mempunyai sensitiviti pendapatan tertinggi terhadap perubahan harga minyak mentah dalam kumpulan liputan kami dan juga antara yang mempunyai hubung kait harga saham tertinggi dengan minyak Brent,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, syarikat seperti Hibiscus dan Dialog Group Bhd berpeluang meraih manfaat daripada lonjakan harga minyak baru-baru ini, namun memberi amaran, kenaikan itu mungkin berbalik sekiranya ketegangan reda dan faktor asas kembali mempengaruhi pasaran.
Berbeza dengan Hibiscus, Dialog dijangka meraih manfaat yang lebih sederhana disebabkan oleh asas pendapatan yang lebih pelbagai.
“Kira-kira 35% daripada keuntungan Dialog berkait rapat dengan operasi huluannya, manakala segmen terminal tangki pula memberikan kestabilan pendapatan,” katanya.
“Harga saham Dialog secara hakikatnya menunjukkan hubung kait negatif dengan minyak Brent, kerana kenaikan harga minyak biasanya menandakan kekurangan bekalan yang mengurangkan kadar penggunaan tangki simpanan.
“Namun, pada minggu lalu, hubung kait itu tersebut menjadi positif disebabkan kadar penggunaan yang tinggi akibat pengeluaran berlebihan oleh OPEC+," katanya.
CGS International mengekalkan Dialog sebagai pilihan utama sektor tersebut, dengan merujuk kepada profil risiko yang lebih rendah dan potensi pertumbuhan jangka panjang hasil peluasan portfolio terminal tangkinya, terutamanya dengan dua kontrak yang sedang berjalan di Pengerang.
Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan “overweight” terhadap sektor tenaga, didorong asas kukuh dan penilaian saham individu yang menarik.
Pemangkin utama untuk penilaian semula sektor itu adalah kemungkinan tindakan balas Iran yang boleh mengganggu pengeluaran minyak serantau atau menutup Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran tenaga global.
“Jika ketegangan reda, digabungkan dengan peningkatan bekalan dan permintaan yang lemah, ia boleh mencetuskan penurunan harga minyak dan pendapatan sektor,” katanya.- DagangNews.com








