KUALA LUMPUR 10 April – CGS International (CGSI) mengekalkan pandangan positif terhadap Malayan Cement Bhd selepas mengemaskini unjuran pendapatan syarikat itu susulan perubahan persekitaran kos global.
Menurut CGSI, prospek syarikat pengeluar simen terbesar negara itu kini berdepan tekanan kos jangka pendek khususnya daripada kenaikan harga arang batu dan sedikit kesan daripada harga diesel.
Firma penyelidikan itu menjelaskan arang batu menyumbang kira-kira 35% daripada kos pengeluaran Malayan Cement Bhd, sekali gus menjadikannya faktor utama kepada perubahan margin keuntungan syarikat.
Harga arang batu dilaporkan meningkat antara 35% hingga 40% sejak tercetusnya ketegangan geopolitik, yang mendorong kenaikan harga kepada sekitar AS$90 setan metrik.
Bagaimanapun, CGSI berpandangan kesan tersebut boleh dikurangkan memandangkan syarikat mempunyai kuasa penetapan harga dalam pasaran simen tempatan.
Firma itu berkata kenaikan harga jualan purata (ASP) sekitar 2% hingga 3% berpotensi untuk mengimbangi sepenuhnya tekanan kos arang batu yang lebih tinggi.
Dalam masa yang sama, CGSI turut menyemak turun margin EBITDA Malayan Cement Bhd kepada 29% bagi tahun kewangan 2027 hingga 2028, berbanding anggaran terdahulu sebanyak 32%.
Dari sudut pertumbuhan segmen, konkrit sedia dibancuh (RMC) pula, ia dijangka terus menjadi pemacu utama prestasi syarikat dengan sumbangan yang semakin meningkat kepada kumpulan.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2026, RMC menyumbang 35% kepada hasil kumpulan dan 15% kepada keuntungan operasi, meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Pertumbuhan segmen itu disokong oleh permintaan kukuh daripada projek pembinaan pusat data serta bangunan industri yang mempunyai margin lebih tinggi.
CGSI menjangkakan pertumbuhan hasil RMC akan kekal kukuh antara 15% hingga 26% bagi tempoh 2026 hingga 2028, didorong oleh peningkatan volum dan harga jualan.
Firma penyelidikan itu turut menjelaskan bahawa pelaksanaan projek pusat data yang lebih agresif di Malaysia akan terus menyokong permintaan simen dan konkrit siap bancuh.
Sehubungan itu, CGSI mengekalkan saranan “Tambah” terhadap Malayan Cement Bhd namun menurunkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 antara 3% hingga 6%.
Harga sasaran juga diturunkan kepada RM10.10 sesaham berbanding RM11.50 sebelum ini, mencerminkan kos input yang lebih tinggi walaupun prospek permintaan kekal kukuh.
Risiko utama kepada unjuran termasuk kelembapan sektor hartanah serta kelewatan pelaksanaan projek infrastruktur besar di Malaysia.
Namun begitu, pemangkin utama kenaikan semula penilaian saham termasuk pelaksanaan projek mega yang lebih pantas serta peningkatan jualan hartanah dan pembangunan industri. - DagangNews.com








