KUALA LUMPUR 29 April - Kementerian dan agensi kerajaan diarahkan untuk menyusun semula keutamaan perbelanjaan mengurus organisasi masing-masing selaras dengan cabaran krisis bekalan global dan tanggungan subsidi yang meningkat.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, panduan telah dikeluarkan kepada kementerian dan agensi bagi pelaksanaan langkah tersebut.
"Langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan pengurusan fiskal yang berhemat bagi mengoptimakan sumber Kerajaan supaya dapat mengekalkan sokongan kepada rakyat secara berterusan.
"Kementerian Kewangan ingin menekankan bahawa pelarasan perbelanjaan akan dibuat tanpa menjejaskan perkhidmatan kritikal kepada rakyat dan kestabilan ekonomi," kata kenyataan itu.
Sementara itu Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dalam sidang media mingguannya berkata, keputusan tersebut selaras dengan usaha kerajaan untuk menyelaraskan program dan aktiviti ketika Malaysia berdepan cabaran ekonomi global susulan ketegangan di Timur Tengah.
Katanya, perincian lanjut akan diselaraskan oleh setiap Ketua Setiausaha kementerian bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
MOF pada pertengahan April memaklumkan subsidi bahan api telah menelan belanja kira-kira RM7 bilion sebulan, meningkat sepuluh kali ganda daripada sekitar RM700 juta sebulan sebelum perang Amerika Syarikat-Iran mengganggu laluan Selat Hormuz.
Daripada jumlah RM7 bilion itu, bil subsidi bulanan bagi RON95 meningkat daripada RM300 juta sebelum konflik di Timur Tengah kepada RM4 bilion ketika ini.
Subsidi diesel, termasuk untuk petani dan nelayan serta sektor logistik bagi memastikan harga makanan asas kekal rendah, turut meningkat daripada RM400 juta sebulan kepada RM3 bilion sebulan. - DagangNews.com








