KUALA LUMPUR 3 Feb - Techstore Bhd bakal menyaksikan perolehan lebih kukuh dan keuntungan teras pada masa hadapan, disokong faktor pesanan yang belum dilaporkan sebanyak RM104.7 juta pada tahun lepas.
Demikian menurut pelan pengembangan perniagaan dan prospek industri syarikat tersebut yang diterbitkan menjelang penampilan sulungnya dalam Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 18 Februari depan.
Syarikat itu malah optimis menyasarkan untuk mampu mengumpul modal sehingga mencecah RM25 juta daripada proses tawaran awam permulaan (IPO) yang dijadualkan.
Firma TA Research dalam laporan kajian berkata, Techstore turut merancang untuk mengembangkan pasukan pembangunan bisnes, yang kini hanya terdiri daripada enam kakitangan.
“Mereka itu pula akan dibahagikan kepada kumpulan yang lebih kecil dengan masing-masing menumpukan untuk pembangunan projek melibatkan pelbagai segmen pengguna akhir.
"Techstore juga berhasrat untuk melaksanakan pembelian peralatan tambahan dan perisian teknologi maklumat (IT) untuk menyokong pertumbuhan operasinya nanti," kata firma itu.
Syarikat berkenaan pada masa ini terlibat aktif dalam penyediaan perkhidmatan IT perusahaan, terutama aspek keselamatan IT dan penyelesaian automasi untuk pelbagai industri.
Ini termasuk pengangkutan, utiliti, hospitaliti dan logistik malah memetik laporan penyelidikan pasaran bebas yang disediakan oleh Protégé Associates, TA Research berkata industri perkhidmatan IT perusahaan di Malaysia dianggarkan berkembang baik.
Nilainya dijangka naik daripada RM22.9 bilion pada tahun lalu kepada RM28.8 bilion pada 2028 dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun 5.6 peratus, terutamanya didorong oleh transformasi digital ekonomi tempatan berterusan.
"Kami menganggarkan kumpulan ini mampu mencatat pertumbuhan pendapatan 5.2 peratus, 7.4 peratus dan 13.5 peratus kepada RM8.2 juta, RM8.8 juta dan RM10 juta masing-masing untuk tahun kewangan 2024 (FY24), FY25 dan FY26," kata firma penyelidikan itu.
Memandangkan Techstore telah dianugerahkan projek yang berkaitan dengan pautan Sistem Transit Rapid antara Singapura dan Malaysia, TA Research berkata syarikat itu berhasrat menubuhkan pejabat cawangan di Teluk Danga, Johor Bahru, demi meningkatkan ketepatan masa dan kecekapan perkhidmatan.
Firma itu malah menyatakan bahawa pendapatan Techstore untuk FY22 mampu melonjak lagi sebanyak 43.5 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM42.2 juta daripada RM29.4 juta setahun lalu.
Peningkatan tersebut ujarnya, didorong teguh oleh hasil yang lebih tinggi daripada segmen perkhidmatan reka bentuk dan pelaksanaan.
“Sehubungan itu, keuntungan teras kumpulan ini diramalkan menokok lagi sebanyak 27.4 peratus y-o-y kepada RM5.7 juta daripada RM4.4 juta setahun lalu.
Untuk tahun berikutnya, kumpulan itu menyaksikan pendapatan melonjak 47.4 peratus y-o-y kepada RM62.2 juta, hasil sumbangan lebih tinggi daripada kedua-dua reka bentuk dan pelaksanaan serta perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan.
Sejajar dengan pertumbuhan hasil, TA Research berkata, keuntungan teras Techstore boleh bertambah sebanyak 38.1 peratus y-o-y untuk mencecah RM7.8 juta. - DagangNews.com








