Kelington menang kontrak sistem pengagihan gas RM413.7 juta di India | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelington menang kontrak sistem pengagihan gas RM413.7 juta di India

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Mac – Kelington Group Berhad mengukuhkan kedudukannya dalam industri semikonduktor global apabila meraih kontrak bernilai USD105 juta (RM413.7 juta) bagi projek kemudahan fabrikasi wafer di Gujarat, India.

 

Kontrak tersebut diperoleh melalui anak syarikat milik penuhnya, Kelington Engineering (S) Pte. Ltd., yang dilantik untuk menyediakan penyelesaian turnkey sistem pengagihan gas bagi kemudahan berkenaan.

 

Projek itu merupakan sebahagian daripada pembangunan foundri semikonduktor pertama seumpamanya di India, yang disokong oleh pembiayaan serta komitmen kerajaan bagi memastikan ketersediaan infrastruktur kritikal termasuk bekalan elektrik dan air.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Seng Chuan berkata, penganugerahan kontrak itu menandakan pencapaian penting bagi Kumpulan dalam menembusi pasaran semikonduktor India yang berpotensi tinggi.

 

“Ini merupakan langkah strategik untuk meletakkan Kelington di peringkat awal dalam pasaran yang dijangka berkembang pesat, dengan peluang jangka panjang yang besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Perkukuh kehadiran dalam projek kritikal

Kontrak tersebut melibatkan penyediaan sistem pengagihan gas berketulenan ultra tinggi, yang merupakan komponen kritikal dalam proses fabrikasi semikonduktor bagi memastikan ketepatan dan kestabilan operasi.

 

Kerja-kerja projek dijangka bermula serta-merta dan dijadualkan siap menjelang Julai 2028.

 

Selain itu, Kelington sebelum ini turut memperoleh pesanan pembelian bernilai USD10.4 juta (RM41 juta) bagi pembekalan penulen gas untuk kemudahan yang sama, menjadikan jumlah keseluruhan kontrak setakat ini mencecah USD115.4 juta (RM455 juta).

 

Kumpulan juga mempunyai potensi tambahan apabila berjaya mendapatkan tiga Surat Niat (LOI) bernilai USD17 juta (RM67.1 juta) bagi skop kerja tambahan, yang kini dalam proses dimuktamadkan.

 

“Peluang tambahan dalam projek ini mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan teknikal dan rekod pelaksanaan kami.

 

"Kami berasa bersemangat dengan perkembangan ini dan akan memberi tumpuan untuk menjadikan peluang tersebut kepada kontrak muktamad seiring dengan perkembangan projek ini,” kata Seng Chuan.

 

Setakat tahun ini, Kelington telah memperoleh kontrak baharu berjumlah kira-kira RM555 juta, sekali gus memperkukuh buku tempahan sedia ada.

 

Dengan buku tempahan tertunggak sebanyak RM1.4 bilion setakat akhir Disember 2025, syarikat itu mempunyai keterlihatan pendapatan yang kukuh untuk beberapa tahun akan datang.  - DagangNews.com