KUALA LUMPUR 26 Ogos – MBSB Research mengekalkan saranan Neutral terhadap Cahya Mata Sarawak Berhad (CMSB) namun menurunkan harga sasaran saham itu kepada RM1.04 daripada RM1.16 susulan prestasi suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26) yang lebih rendah daripada jangkaan serta kelewatan operasi bahagian fosfat.
MBSB Research berkata, walaupun prestasi operasi utama CMSB bertambah baik, prospek jangka pendek kumpulan masih terjejas oleh bahagian fosfat yang kini dijangka hanya mula beroperasi secara komersial pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26).
Bagi 2QFY26, keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat 16.7% tahun ke tahun kepada RM22.9 juta manakala hasil meningkat 18.2% kepada RM292 juta.
Keuntungan sebelum cukai pula meningkat kepada RM39.7 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM5.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya, disokong prestasi lebih kukuh bahagian simen, penyelenggaraan jalan dan pembangunan hartanah serta kerugian bahagian fosfat yang semakin kecil.
Bagaimanapun, prestasi 2QFY26 masih di bawah jangkaan MBSB Research dan konsensus pasaran.
Simen Terus Jadi Pemacu Utama
MBSB Research berkata bahagian simen kekal sebagai penyumbang terbesar kepada keuntungan CMSB apabila hasil meningkat 15.2% kepada RM168.3 juta pada 2QFY26.
“Keuntungan sebelum cukai bahagian itu pula meningkat 23.4% kepada RM39.4 juta, didorong jumlah jualan lebih tinggi dan pelarasan harga secara strategik.
“Bagi 1HFY26, hasil bahagian simen meningkat 13.9% kepada RM329.4 juta, manakala keuntungan sebelum cukai naik 17% kepada RM80.4 juta.
“Bahagian penyelenggaraan jalan turut mencatat prestasi lebih baik apabila hasil meningkat 7.5% kepada RM36.6 juta dan keuntungan sebelum cukai lebih dua kali ganda kepada RM8.1 juta,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Hartanah Meningkat, Fosfat Masih Bebankan CMSB
Bahagian pembangunan hartanah mencatat keuntungan sebelum cukai RM4.4 juta berbanding RM30,000 pada suku sama tahun sebelumnya, dibantu pengiktirafan hasil projek Borneo Convention Centre Kuching 2.0 (BCCK2), jualan hartanah siap dan prestasi hotel Samalaju yang lebih baik.
Projek BCCK2 bernilai RM550 juta juga berjalan lebih cepat daripada jadual dan disasarkan siap pada Mac 2028 yang dijangka menyokong pendapatan bahagian hartanah dalam suku akan datang.
Bagaimanapun, bahagian fosfat masih mencatat kerugian sebelum cukai RM17.1 juta pada 2QFY26, walaupun lebih rendah berbanding RM56.2 juta pada 2QFY25 dan RM27.5 juta pada 1QFY26.
MBSB Research berkata operasi fosforus kuning yang sebelum ini dijangka bermula pada September 2026 kini ditangguhkan kepada 4QFY26 selepas berlaku kerosakan peralatan ketika ujian dan proses persediaan loji.
Unjuran Keuntungan Turut Diturunkan
Susulan kelewatan itu, MBSB Research menurunkan unjuran keuntungan CMSB bagi FY2026 dan FY2027 masing-masing sebanyak 20.1% dan 19.2%, dengan bahagian fosfat kini dijangka mencapai titik pulang modal pada 1QFY27 berbanding 4QFY26 sebelum ini.
Sehubungan itu, harga sasaran CMSB diturunkan kepada RM1.04 daripada RM1.16 berdasarkan anggaran keuntungan sesaham (EPS) FY2027 sebanyak 11.5 sen dan gandaan harga kepada keuntungan (PER) sembilan kali.
Pada harga saham RM1.01 setakat 24 Ogos 2026, MBSB Research mengunjurkan potensi kenaikan harga sekitar 3%, manakala hasil dividen dianggarkan 3%, menjadikan jumlah pulangan dijangka sekitar 6%.
Walaupun prospek jangka pendek masih tertekan, MBSB Research melihat CMSB berada dalam kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada peningkatan projek infrastruktur dan pembinaan di Sarawak, memandangkan kumpulan itu merupakan pengeluar simen tunggal di negeri berkenaan serta pembekal utama. - DagangNews.com








