KUALA LUMPUR 2 April – Selepas ditunda sejak 2023, Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 2 akhirnya diteruskan, namun kelewatan projek berkenaan menjadi isu kritikal kepada sektor telekomunikasi.
Menurut RHB Research, selain masalah tersebut, cabaran pemerolehan tapak di kawasan pedalaman dijangka terus dinilai sebagai halangan utama kejayaan inisiatif berkenaan dalam masa terdekat.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun pelancaran fasa baharu tersebut merupakan perkembangan yang positif kepada industri, pelabur turut perlu memberi perhatian kepada risiko pelaksanaan.
"Ini memandangkan sebahagian besar tapak menara telekomunikasi baharu terletak di kawasan sukar diakses serta memerlukan kelulusan permit yang kompleks," katanya dalam nota analisis sektor itu.
Berdasarkan kepada perkembangan semasa tersebut, RHB Research masih mengekalkan saranan 'neutral' ke atas sektor berkenaan dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) sebagai pilihan utama firma itu.
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah mengeluarkan permintaan cadangan (RFP) pada 31 Mac 2026 bagi meningkatkan liputan jalur lebar dan ketersambungan internet.
Pelaksanaan Jendela Fasa 2 tambah firma itu, sepatutnya bermula pada 2023 di seluruh negara, namun kelewatan dalam Fasa 1, khususnya di Sabah dan Sarawak, menyebabkan proses ini disusun semula.
"Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM780 juta di bawah perancangan Belanjawan 2026 untuk projek ini, dengan sasaran mencapai sepenuhnya 100% penembusan internet," jelas RHB Research.
Setakat akhir Januari 2026 ujar firma penyelidikan berkenaan, jumlah keseluruhan premis yang berjaya memperoleh liputan gentian optik sudah pun melepasi sasaran 9 juta kepada 9.82 juta.

Pendekatan fasa 2 menggunakan teknologi bersesuaian termasuk akses jalur lebar tanpa wayar (BWA) berasaskan satelit melalui platform hos neutral bagi membolehkan sambungan data mudah alih.
Kaedah ini kata RHB Research, lebih lancar merentasi semua pengendali rangkaian mudah alih (MNO), dan bagi pelaksanaan awal, sebanyak 1,000 daripada 2,700 tapak ditawarkan dalam kumpulan pertama.
"Kira-kira 64% daripadanya terdiri tapak BWA manakala selebihnya adalah tapak tradisional, dengan Sabah dan Sarawak memperoleh peruntukan yang terbesar iaitu 69% daripada jumlah itu,” jelasnya.
Tambah firma penyelidikan tersebut, syarikat yang membida hanya dibenarkan memilih satu bahagian projek dengan tempoh pelaksanaan 12 bulan bagi tapak tradisional dan enam bulan bagi tapak BWA.
Tarikh tutup bidaan ujar RHB Research, ditetapkan pada 3 Jun 2026, manakala surat penganugerahan (LOA) projek pembangunan berkenaan dijangka dikeluarkan sekitar Ogos atau September tahun ini.
Dari segi impak industri, ia menjangkakan pengendali telekomunikasi mendapat manfaat peningkatan liputan dan kualiti rangkaian, khususnya di Sabah dan Sarawak yang masih ketinggalan 4G dan 5G.
"TM dilihat sebagai penerima manfaat utama susulan peranan penyediaan gentian optik, termasuk kontrak borong dengan Digital Nasional Berhad dan U Mobile bagi perluasan rangkaian 5G," katanya.
Pada masa sama jelas RHB Research, pemain infrastruktur telekomunikasi seperti edotCo, OCK Group, Reach Ten Holdings dan Redtone International dijangka menyaksikan peningkatan tempahan kontrak.
Secara keseluruhan, ia menjangkakan kumpulan kedua pemenang bidaan RFP dikeluarkan pada separuh kedua 2026, sekali gus memberi kesinambungan kepada momentum sektor itu. - DagangNews.com








