KUALA LUMPUR 28 Okt - Sentimen pengguna yang lemah diyakini tidak menjejaskan hasil IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT) kerana prestasi kebanyakan penyewanya kekal berdaya tahan, kata RHB Research.
Katanya, prestasi penyewa di pusat beli-belah utama kumpulan itu iaitu Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall terus kukuh, dengan kadar penghunian masing-masing pada 99.8% dan 98.6%.
“Walaupun pengguna lebih berhati-hati ketika berbelanja, jualan majoriti penyewanya mencatatkan pertumbuhan yang stabil.
"Dengan suku pertama dan keempat secara tradisinya menjadi tempoh paling kukuh setiap tahun, kami menjangkakan momentum ini akan berterusan," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, kadar sewaan terus mencatat kenaikan sederhana satu digit, manakala sebarang kos tambahan termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berjaya disalurkan kepada penyewa.
ARTIKEL BERKAITAN: Hasil IGB REIT pada 3QFY25 naik 6.4% kepada RM165.2 juta didorong pendapatan sewa lebih tinggi
Katanya, tiada sebarang inisiatif peningkatan aset besar (AEI) dirancang dalam masa terdekat bagi Mid Valley Southkey yang dijangka menyumbang hasil pertamanya mulai Disember 2025 selepas pengambilalihan dimuktamadkan hujung tahun ini.
Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, IGB REIT mencatatkan keuntungan teras RM311.7 juta, meningkat 9.9% tahun ke tahun, disokong oleh pertumbuhan hasil sewaan dan margin pendapatan bersih (NPI) yang lebih kukuh.
"Penilaian semasa IGB REIT banyak mengambil kira faktor pertumbuhan organik sedia ada, termasuk sumbangan daripada pusat beli-belah utama kumpulan.
"Pengambilalihan Mid Valley Southkey di Johor Bahru dilaporkan berjalan mengikut jadual dan dijangka selesai menjelang akhir 2025.
"Mid Valley Southkey dijangka mula menyumbang hasil kepada kumpulan bermula Disember 2025, sekali gus memperkukuh asas pendapatan IGB REIT dalam tempoh jangka sederhana," katanya.- DagangNews.com








