Hasil IGB REIT pada 3QFY25 naik 6.4% kepada RM165.2 juta didorong pendapatan sewa lebih tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil IGB REIT pada 3QFY25 naik 6.4% kepada RM165.2 juta didorong pendapatan sewa lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Okt - Hasil IGB REIT pada suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY25) naik sebanyak 6.4% kepada RM165.2 juta berbanding RM155.3 juta pada suku sama tahun lalu didorong pendapatan sewa yang lebih tinggi.

 

Kumpulan itu berkata, pendapatan hartanah bersih (NPI) meningkat sebanyak 9.5% kepada RM124.9 juta, berbanding RM114.1 juta pada 3QFY24.

 

Katanya, hasil kumpulan pada 9MFY25 meningkat sebanyak 6.2% kepada RM496.7 juta, berbanding RM467.8 juta bagi tempoh yang sama pada tahun lalu manakala NPI turut meningkat sebanyak 8.6% kepada RM377.9 juta daripada RM347.8 juta.

 

"Pengurusan telah meluluskan pengagihan sebanyak 97.5% daripada pendapatan boleh agih suku tahunan IGB REIT, berjumlah RM100.5 juta atau 2.77 sen seunit," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, sektor runcit diramal mencatatkan pemulihan sederhana pada 4QFY25 dipacu peningkatan permintaan terhadap barangan keperluan asas. 

 

Bagaimanapun, kumpulan itu menyemak turun unjuran pertumbuhan tahunan berikutan ketidaktentuan global yang berterusan dan sentimen pengguna yang lemah.

 

"Risiko seperti ketegangan geopolitik, kenaikan tarif dan perdagangan yang lemah boleh memberi kesan lanjut terhadap import serta keyakinan pengguna. 

 

"Pada masa sama, kenaikan tarif elektrik, peningkatan gaji minimum, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing, serta peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terus memberi tekanan terhadap kos operasi sektor runcit," katanya.

 

Sementara itu, pengambilalihan The Mall, Mid Valley Southkey, yang dijangka selesai menjelang akhir November 2025, dilihat akan meningkatkan nilai portfolio IGB REIT.

 

Disokong pembangunan strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), pautan Sistem Transit Rapid (RTS), serta perbelanjaan rentas sempadan yang lebih kukuh didorong pengukuhan dolar Singapura, aset tersebut dijangka memberi sumbangan positif.- DagangNews.com