Kelana Kuality serah 178 unit rumah bandar Seri Kenanga di Bandar Saujana Utama kepada pembeli | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelana Kuality serah 178 unit rumah bandar Seri Kenanga di Bandar Saujana Utama kepada pembeli

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 27 Feb - Anak syarikat milik penuh Glomac Berhad, Kelana Kuality Sdn. Bhd. (KKSB) menyerahkan milikan kosong kepada kesemua pembeli rumah Seri Kenanga RSKu di Saujana Perdana, Bandar Saujana Utama.

 

Projek rumah bandar bertanah sebanyak 178 unit itu dibangunkan sebagai sebahagian daripada komitmen kumpulan kepada kerajaan negeri dalam menyediakan rumah mampu milik di bawah skim Rumah Selangorku (RSKU).

 

Seri Kenanga menawarkan konsep hibrid rumah bandar 2 1/2 tingkat yang menggabungkan elemen moden dan kontemporari. 

 

glomac

 

Dengan keluasan binaan 1,200 kaki persegi, setiap satu rumah bandar seluas 24’x 65’ itu dilengkapi dengan tempat letak kereta, tiga bilik tidur, dua bilik air dan dijual pada harga RM250,000.00 setiap unit.

 

Diserahkan kepada pemilik lebih awal daripada jadual, Seri Kenanga merupakan rumah bandar jenis RSKU kedua yang dibangunkan oleh Kelana Kuality di Saujana Perdana. 

 

Pada Jun 2022, sebanyak 180 unit rumah bandar Seri Kenari telah diserahkan kepada pembeli.

 

Sebagai sokongan berterusan kepada dasar perumahan awam kerajaan negeri Selangor dan inisiatif negara dalam membina rumah mampu milik, Glomac Berhad juga telah menyerahkan sebanyak 1,549 unit rumah mampu milik di Bandar Saujana Utama setakat ini. - DagangNews.com