Kelab sukan padel eksklusif Singapura, Pop Padel terima pelaburan tujuh angka daripada Apricot Capital  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelab sukan padel eksklusif Singapura, Pop Padel terima pelaburan tujuh angka daripada Apricot Capital 

Pengasas, Davy Sanh (dua dari kanan); Pengarah Kewangan (kanan), Kim Nguyen; Pengarah Strategi dan Pertumbuhan Pop Padel (kiri) Sean Tan, bersama Rakan Kongsi Urusan Apricot Capital, Darren Teo (tengah) dan Elaine Teo (dua dari kiri)
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Feb - Pop Padel, sebuah kelab sukan padel premium Singapura menerima pelaburan tujuh angka daripada Apricot Capital bagi memacu perkembangan sukan tersebut di Asia Tenggara.

 

Perkongsian dengan firma pelaburan swasta yang berpangkalan di Singapura itu akan membantu Pop Padel bersedia membuat penampilan sulungnya di pelbagai negara pada Mac 2025.

 

Pop Padel berkata, pemerolehan pelaburan ini susulan syarikat memenangi tender kerajaan bagi membina kelab padel sosial yang menawarkan empat gelanggang bertaraf dunia di Redhill, Singapura.

 

"Gelanggang yang pertama seumpamanya di Singapura juga merangkumi kawasan makanan dan minuman (F&B) dan zon pemulihan bagi pemain padelist berehat.

 

"Infrastruktur yang akan dibina di Singapura itu juga akan direplikasi untuk cawangan Malaysia ang akan menampilkan enam gelanggang gred pertandingan di Bukit Bambu, Kuala Lumpur.

 

"Pelaburan ini tepat pada masanya yang membantu syarikat memacu perkembangannya di Singapura," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Katanya, pembiayaan itu akan menjadi kunci dalam mewujudkan kemudahan tercanggih di Singapura dan Malaysia, meningkatkan pengaturcaraan bagi pemain dari semua peringkat dan memajukan visi Pop Padel memupuk komuniti padel yang bertenaga di seluruh Asia Tenggara.

 

Pengasas Pop Padel berkata, dana daripada Apricot Capital merupakan salah satu langkah besar ke hadapan bagi memacu perkembangan Pop Padel. 

 

"Kerjasama dengan Apricot bakal membantu merealisasikan matlamat kami mengembangkan sukan padel di seluruh negara.

 

"Pop Padel bersedia untuk mencergaskan semula dunia sukan dan berusaha menjadikan padel sebagai sukan pilihan dalam kalangan penduduk  Asia Tenggara pada masa akan datang,” katanya. 


Sementara itu, Rakan Kongsi Urusan Apricot Capital, Darren Teo berkata, visi Pop Padel sejajar dengan falsafah pelaburan kumpulan bagi menyokong usaha niaga yang mencipta impak berkekalan dalam komuniti.  - DagangNews.com