KUALA LUMPUR 6 April – Lotte Chemical Titan Holding Bhd dijangka menghadapi cabaran besar bermula Jun 2026 apabila kekurangan bahan mentah naphtha yang akan memaksa pengeluarannya dikurangkan atau penggantungan operasi secara sementara, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Naphtha ialah bahan mentah penting dalam industri petro-kimia, digunakan terutamanya untuk menghasilkan plastik dan produk polietilena berketumpatan tinggi.
Maybank IB berkata kekurangan bekalan naphtha dari Timur Tengah, yang menjadi sumber utama syarikat berisiko menjejaskan operasi Lotte Chemical Titan yang berkemungkinan akan mengisytiharkan situasi force majeure sekiranya bekalan tidak mencukupi selepas Mei 2026.
Firma penyelidikan itu berkata sebelum ini, Lotte Chemical Titan menikmati peningkatan keuntungan sementara hasil daripada stok naphtha berkos rendah yang dibeli sebelum harga pasaran naik akibat gangguan bekalan global.
“Peningkatan ini dijangka membantu syarikat mengurangkan kerugian pada suku pertama tahun kewangan 2026 dan berpotensi mencatat keuntungan pada suku kedua.
“Oleh itu, kami telah menaik taraf saham Lotte Chemical Titan kepada “tahan” dengan harga sasaran baharu 35 sen, berikutan peluang perdagangan jangka pendek berdasarkan pemulihan pendapatan sementara ini,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Saham syarikat diniagakan pada 35 sen, yang menilai Lotte Chemical Titan pada RM797.15 juta.
Walau bagaimanapun, Maybank IB berkata keuntungan sementara ini dijangka hanya bertahan sehingga Mei 2026, apabila stok naphtha murah habis dan bahan mentah berkos tinggi mula digunakan dalam pengeluaran yang dikhuatiri menjejaskan margin keuntungan syarikat.
“Sebelum ini, syarikat itu mendapat manfaat daripada kelewatan enam minggu antara pembelian dan penggunaan naphtha, membolehkan mereka mendapat keuntungan sementara sebelum harga produk petro-kimia dinaikkan selepas pelarasan akibat gangguan bekalan global.
“Berdasarkan anggaran, perbezaan harga antara polietilena berketumpatan tinggi dan naphtha kini berada pada kira-kira AS$900, jauh melebihi paras pulang modal Lotte Chemical Titan sekitar A$550–AS$600, menjadikan suku pertama 2026 rugi manakala suku kedua pula berpotensi mencatat keuntungan.
Namun, gangguan bekalan yang berpanjangan dijangka memaksa kadar penggunaan loji pengeluaran lebih rendah atau penghentian pengeluaran sementara yang akan menjejaskan operasi dan mengurangkan hasil keseluruhan bagi baki tahun kewangan 2026.
Firma penyelidikan itu menurunkan anggaran kerugian bersih Lotte Chemical Titan bagi tahun kewangan 2026 dan 2027 masing-masing sebanyak 14% dan 12%.
Penurunan ini dibuat berdasarkan andaian harga purata polietilena berketumpatan tinggi sebanyak AS$1,400 setiap tan dan kemungkinan pengeluaran dikurangkan atau dihentikan sementara dari Jun hingga Disember 2026.
Ini bermakna kerugian syarikat mungkin lebih kecil daripada jangkaan asal, tetapi risiko gangguan bekalan bahan mentah tetap wujud. Lotte Chemical Titan dijangka terus menghadapi cabaran pada separuh kedua tahun ini jika kekurangan naphtha berlanjutan.
Daripada empat firma broker yang menilai saham syarikat, tiga mencadangkan jual manakala satu mencadangkan tahan. Harga sasaran purata ditetapkan pada 37 sen, menandakan pelabur perlu berhati-hati kerana ketidaktentuan bekalan bahan mentah boleh menjejaskan operasi dan keuntungan syarikat. - DagangNews.com








