KUALA LUMPUR 24 Mac — Risiko terbesar Johor dalam pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bukan isu kegagalan menarik pelaburan, sebaliknya kejayaan yang datang terlalu pantas.
Pengasas JS-SEZ Monitor, Nasser Ismail berkata, situasi itu berpotensi menekan sistem yang sedia ada, meskipun tumpuan sasaran utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM260 bilion dinilai munasabah.
Bagaimanapun jelas beliau, usaha untuk kerajaan mewujudkan 20,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dan insentif cukai dilihat sudah mengalih perhatian daripada tekanan struktur semakin ketara tidak seiring.
“Persoalannya bukan lagi sama ada Johor mampu menarik pelaburan, tetapi sama ada negeri ini mampu menyerap pertumbuhan pantas itu tanpa menjejaskan kestabilan sistem,” kata beliau dalam kenyataan.
Menurutnya, Johor mula menunjukkan tanda tekanan dalam beberapa sektor termasuk pasaran buruh, perumahan, mobiliti dan utiliti, apabila pertumbuhan lebih laju daripada sistem sokongannya.
Dalam aspek tenaga kerja, beliau memberi amaran persaingan agresif daripada syarikat multinasional boleh melemahkan syarikat tempatan jika tiada pemindahan kemahiran dan pembangunan vendor jelas.
Katanya, tanpa pelan pembangunan keupayaan domestik, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berisiko kehilangan pekerja kepada syarikat besar, sekali gus tidak menikmati manfaat pertumbuhan JS-SEZ

Dari sudut perumahan, projek pengangkutan RTS Link dijangka menjadi pemacu pertumbuhan tetapi pada masa sama boleh meningkatkan tekanan terhadap harga hartanah, kesesakan dan isu perjalanan harian.
“Jika infrastruktur sokongan tidak seiring, hasil awal kemungkinan besar bukan peningkatan taraf hidup rakyat tetapi kos yang lebih tinggi dan corak masa perjalanan makin panjang,” kata Nasser.
Dalam sektor utiliti jelasnya, kelulusan ketat industri berintensiti air seperti pusat data (DC) menunjukkan Johor kini beralih daripada fasa promosi kepada pengurusan kekangan kapasiti sumber.
Beliau menegaskan pelan tindakan JS-SEZ yang bakal diumumkan perlu memberi tumpuan kepada tadbir urus berdisiplin, termasuk kelulusan projek berdasarkan sistem dan penyelarasan antara agensi.
Antara cadangan dikemukakan termasuk mekanisme kelulusan kapasiti di peringkat negeri, penilaian keupayaan penyerapan bagi projek besar serta pelaporan secara berkala terhadap indikator tekanan.
"Ini termasuk kekurangan tenaga kerja, kemampuan perumahan dan beban infrastruktur, kerana ujian sebenar JS-SEZ bukan jumlah pelaburan, tetapi sejauh mana kesan pertumbuhan tersebut,” katanya.
Justeru Nasser memberi amaran, tanpa disiplin kapasiti yang kukuh, kejayaan pesat boleh menjejaskan sokongan awam serta memperluaskan ketidakseimbangan struktur ekonomi negeri. - DagangNews.com








