Kejayaan model AI DeepSeek tingkatkan permintaan pusat data - RHB Investment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kejayaan model AI DeepSeek tingkatkan permintaan pusat data - RHB Investment

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 5 Feb - Kejayaan model kecerdasan buatan (AI) DeepSeek dari China dilihat sebagai satu kelebihan untuk pusat data, menurut RHB Investment.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, walaupun DeepSeek mendakwa mengeluarkan kos hanya RM24.79 juta, jauh lebih rendah berbanding pelaburan berbilion dolar yang dibuat oleh gergasi teknologi AS, ia tidak semestinya mengurangkan keperluan pusat data.

 

Sebaliknya, jika dakwaan DeepSeek itu benar, peningkatan kecekapan berkenaan boleh mendorong penggunaan AI yang lebih meluas, sekali gus meningkatkan permintaan untuk kemudahan pusat data yang lebih banyak.

 

"Jika dakwaan DeepSeek benar, keuntungan dari latihan AI dijangka menghasilkan peningkatan kecekapan sebanyak 30%, tetapi ia tidak akan mengurangkan 30% penggunaan cip atau pusat data. 

 

"Sebaliknya, ini bermaksud model AI tersebut akan memperoleh 30% lebih banyak kuasa," jelas RHB Investment dalam satu nota kajian.

 

Jelas RHB Investment, pendekatan DeepSeek yang lebih maju itu berpotensi memberi rangsangan kepada industri pusat data secara keseluruhan, jika dakwaannya terbukti benar.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, ia selaras dengan konsep ekonomi paradoks Jevons, yang mencadangkan peningkatan kecekapan dalam penggunaan sumber boleh menyebabkan peningkatan penggunaan secara keseluruhan.

 

"Jika kos menggunakan AI menjadi lebih murah kerana ia menjadi lebih cekap, lebih ramai orang atau syarikat akan memilih untuk menggunakannya. Namun, kos yang tinggi sebelum ini menyebabkan AI kurang menjadi pilihan oleh syarikat besar," ujarnya.

 

RHB Investment melaporkan, walaupun DeepSeek semakin dikenali, pemain besar seperti Microsoft Corp dan Meta Platforms Inc masih menegaskan komitmen mereka terhadap pelaburan AI yang besar. 

 

"Microsoft dan Meta mempertahankan pelaburan mereka yang masing-masing berjumlah RM354.29 bilion dan RM287.86 bilion bagi tahun kewangan semasa, dengan alasan ia penting untuk kekal berdaya saing dalam AI dari semasa ke semasa," katanya.

 

Tambahnya, dengan pelaburan berbilion dolar ke dalam AI yang berterusan, permintaan untuk kemudahan yang kukuh bagi menyokong perkhidmatan yang didorong oleh AI dijangka terus meningkat.

 

RHB Investment juga menyatakan, Malaysia kekal sebagai lokasi menarik untuk pelaburan pusat data didorong kelebihan kos yang dimiliki, terutamanya dalam aspek tanah, buruh, elektrik, serta lokasinya yang berhampiran dengan Singapura.

 

Ia turut mengekalkan saranan 'beli lebih banyak' untuk sektor pembinaan dan memberi saranan 'beli' terhadap semua 10 saham di bawah pemantauannya.

 

Antara syarikat yang disarankan termasuklah Gamuda Bhd, Kerjaya Prospek Group Bhd dan Sunway Construction Group Bhd sebagai pilihan utama disebabkan rekod pesanan yang kukuh serta pendedahan mereka terhadap syarikat multinasional (MNC).

 

"Dengan gergasi teknologi terus melabur dalam AI, kami percaya buku pesanan dan buku tender pusat data Gamuda dan Sunway Construction tidak akan terjejas secara besar-besaran, kerana kebanyakan pelanggan mereka adalah MNC dari negara kelas pertama seperti Amerika Syarikat, Britain dan Belanda yang layak untuk status pengguna akhir yang disahkan," jelas RHB Investment. - DagangNews.com