KUALA LUMPUR 7 April — Kemerosotan teruk pasaran telefon pintar global, berpotensi menggugat momentum pertumbuhan pesat industri semikonduktor sepanjang tahun ini, menurut MBSB Research.
Justeru firma itu mengekalkan pandangan ‘neutral’ terhadap sektor teknologi, dengan memberi amaran risiko luaran semakin meningkat walaupun permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI) kekal kukuh.
Antara kebimbangan utama adalah ancaman gangguan rantaian bekalan bahan kritikal seperti sulfur dan helium, selain risiko keselamatan terhadap operasi banyak syarikat teknologi global di Timur Tengah.
"Permintaan aplikasi AI dan pengkomputeran berprestasi tinggi mengalih bekalan memori daripada segmen telefon pintar, sekali gus menekan pengeluaran dan meningkatkan kos," kata MBSB Research.
Keadaan itu ujar firma penyelidikan tersebut, dijangka menyebabkan harga jualan peranti berkenaan meningkat dan menjejaskan permintaan pengguna, khususnya dalam segmen rendah dan pertengahan.
Malah, International Data Corporation dan Counterpoint Research menjangka penghantaran telefon pintar global susut lebih 10% pada 2026 dan mencatat paras terendah dalam tempoh lebih sedekad.
Berdasarkan situasi itu, MBSB Research melihat Inari Amertron Berhad terdedah paling tinggi kepada pasaran telefon pintar global, diikuti Unisem (M) Berhad dan Malaysian Pacific Industries Berhad.
"Selain helium, kami turut memberi amaran mengenai bekalan sulfur global berisiko terjejas susulan konflik di Timur Tengah, memandangkan rantau itu menyumbang 44% pengeluaran dunia," jelasnya lagi.

Tambahnya, sulfur yang diproses menjadi asid sulfurik merupakan bahan penting dalam pembersihan dan proses ‘etching’ wafer silikon, iaitu komponen amat kritikal dalam pembuatan semikonduktor.
Sehubungan itu ujar MBSB Research, masalah gangguan penghantaran bekalan bahan tersebut dari Timur Tengah dikhuatiri boleh menjejaskan kualiti, kebolehpercayaan dan hasil pengeluaran cip baharu.
Dalam perkembangan berkaitan, 18 syarikat teknologi global termasuk Intel Corporation, Microsoft Corporation, dan Apple Inc berdepan risiko menjadi sasaran sekiranya konflik terus memuncak.
"Ini berikutan pelaburan besar syarikat-syarikat tersebut dalam pembangunan infrastruktur AI di Timur Tengah sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan terdedah kepada ancaman luar," katanya.
MBSB Research turut mengingatkan insiden serangan Iran ke atas pusat data Amazon Web Services di rantau itu sebelum ini yang sudah mengganggu operasi aplikasi dan perkhidmatan digital global.
Walaupun jualan semikonduktor antarabangsa diramal meningkat 26.3% kepada RM3.93 trilion pada 2026, ia berpandangan unjuran itu mungkin terjejas sekiranya risiko geopolitik masih berterusan.
Permintaan kukuh bagi memori dan cip logik yang dipacu AI serta pusat data masih menjadi sokongan utama, namun ketidaktentuan bekalan dan keselamatan operasi boleh menjejaskan pertumbuhan.
"Kami menegaskan sektor teknologi kini berada dalam fasa mencabar dengan gabungan tekanan kitaran dan risiko luaran, sekali gus memerlukan pelabur lebih berhati-hati," katanya. - DagangNews.com








