Kejatuhan harga jualan kurangkan 15% untung Sarawak Oil Palms bagi suku pertama — Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kejatuhan harga jualan kurangkan 15% untung Sarawak Oil Palms bagi suku pertama — Phillip Capital

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 29 April — Kejatuhan ketara harga jualan purata (ASP) produk sawit memberi kesan tekanan yang besar kepada prestasi Sarawak Oil Palms Berhad, menurut analisis Phillip Capital.


Firma penyelidikan tersebut menambah, situasi negatif berkenaan mengakibatkan keuntungan bersih teras kumpulan perladangan itu susut kira-kira 15% kepada RM102.5 juta bagi suku pertama FY26.


Ujarnya, walaupun hasil meningkat 0.2% kepada RM1.4 bilion disokong jumlah jualan yang tinggi, ia diimbangi oleh harga sebenar lebih rendah bagi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK).


"Selain itu, margin kasar merosot kepada 11.8% berbanding tahun kewangan sebelumnya, dipengaruhi peningkatan kos operasi dan sumbangan lebih rendah daripada segmen hiliran," kata Phillip Capital.


Jelasnya, prestasi suku ke suku (QoQ) juga menunjukkan kelemahan ketara apabila keuntungan menurun 31% susulan pengeluaran tandan buah segar (TBS), MSM dan PK lebih rendah serta harga jualan lemah.


Bagaimanapun, firma itu menjangkakan pemulihan prestasi dalam suku-suku akan datang, disokong peningkatan bermusim pengeluaran serta harga MSM yang ketika ini berada pada paras lebih kukuh.

 

Sarawak Oil Palms_DagangNews


Phillip Capital menambah, dengan harganya yang stabil sekitar RM4,400 hingga RM4,600 bagi satu tan metrik, Sarawak Oil Palms diyakini dapat kembali pulih pantas seawal-awalnya pada suku kedua.


“Keadaan ini juga dipacu permintaan biodiesel yang terus meningkat dan harga minyak mentah tinggi dijangka terus menyokong harga MSM, sekali gus membantu margin segmen huluan kumpulan,” katanya.


Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut menaikkan unjuran hasil bagi tempoh 2026 hingga 2028 antara 10% hingga 16% serta menyemak naik harga sasaran (TP) kepada RM4.77 daripada hanya RM3.87.


Namun, Philip Capital masih mengekalkan saranan ‘tahan’ ke atas saham Sarawak Oil Palms berikutan kebimbangan terhadap tekanan kos, ketidaktentuan harga komoditi serta margin segmen hiliran.


Di samping itu ujarnya, antara risiko utama termasuk turun naik pengeluaran, perubahan harga produk sawit, inflasi kos semasa dan ketidaktentuan dasar serta ekonomi global. - DagangNews.com