Kedah, Kelantan antara lima negeri catat kenaikan nilai harga rumah terpantas sejak 2010 - Juwai IQI  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kedah, Kelantan antara lima negeri catat kenaikan nilai harga rumah terpantas sejak 2010 - Juwai IQI 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Mei - Walaupun Kedah dan Kelantan jarang berada dalam senarai utama pelabur hartanah, namun kedua-dua negeri itu sebenarnya memberi pulangan kukuh kepada pemilik rumah dari segi kenaikan nilai sejak 2010, demikian menurut analisis Juwai IQI.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, kedua-dua negeri itu malah berada antara lima negeri terbaik dari segi kenaikan nilai rumah sejak 2010.

 

Kasif
Kashif Ansari

 

Katanya, Johor mencatat pertumbuhan paling ketara apabila harga purata rumah meningkat lebih tiga kali ganda daripada RM162,136 pada 2010 kepada RM487,128 ketika ini.

 

 

 

 

 

 

 

“Johor memang mengejutkan, tetapi bukan satu-satunya. Kedah dan Kelantan jarang berada dalam senarai utama pelabur hartanah, namun kedua-duanya memberi pulangan kukuh kepada pemilik rumah dan berada antara lima negeri terbaik dari segi pertumbuhan nilai rumah sejak 2010,” katanya dalam kenyataan.

 

Kashif berkata, dapatan itu berdasarkan data 15 tahun daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara yang menunjukkan lokasi pembelian memainkan peranan besar terhadap pulangan pelaburan hartanah.

 

“Data ini merupakan bukti kukuh bahawa lokasi pembelian rumah di Malaysia boleh memberi impak besar terhadap pulangan,” katanya.

 

IQI_Data

Peningkatan Lebih Dua Kali Ganda

Menurut beliau, harga purata rumah di Malaysia meningkat daripada RM218,000 pada 2010 kepada RM508,000 ketika ini, mencerminkan peningkatan lebih dua kali ganda dalam tempoh 15 tahun.

 

“Ini bermakna pemilik rumah secara purata telah menambah kira-kira RM290,000 kepada nilai bersih mereka hanya dengan memiliki hartanah kediaman,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata pemilik rumah di Kuala Lumpur turut mencatat prestasi kukuh walaupun kadar pertumbuhan harga lebih perlahan berbanding Johor.

 

“Di Kuala Lumpur, walaupun kadar kenaikan tidak sepantas Johor, nilai permulaan yang lebih tinggi menyebabkan peningkatan dalam nilai ringgit adalah lebih besar,” katanya.

 

Harga purata rumah di Kuala Lumpur meningkat daripada sekitar RM396,000 pada 2010 kepada kira-kira RM827,000 kini, iaitu peningkatan sekitar RM431,000 — tertinggi dalam nilai mutlak berbanding negeri lain.

 

Beliau menambah, perbezaan kadar pertumbuhan harga antara negeri dipengaruhi oleh faktor ekonomi, pembangunan setempat dan permintaan pasaran.

 

“Lokasi pembelian adalah sama penting dengan jenis hartanah. Faktor ekonomi di setiap negeri mendorong kadar kenaikan harga yang berbeza,” katanya.

 

Prospek Masa Depan

Berdasarkan data sejak 2010, negeri yang mencatat pertumbuhan harga terpantas ialah Johor, Kedah, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan dan Perlis, dengan setiap negeri merekodkan peningkatan sekurang-kurangnya 2.4 kali ganda berbanding harga asal.

 

Mengulas prospek masa depan, beliau berkata trend “catch-up” menunjukkan negeri berharga lebih rendah berpotensi terus mengejar negeri lebih mahal seperti Kuala Lumpur.

 

 

 

 

 

 

Antara negeri yang dikenal pasti mempunyai potensi termasuk Kelantan, Kedah, Perlis, Melaka dan Perak, berdasarkan harga yang masih rendah berbanding purata nasional serta pertumbuhan kukuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan pembelian hartanah bergantung kepada keadaan individu dan penilaian masing-masing, serta kenyataan ini bukan merupakan nasihat pelaburan tetapi sekadar menunjukkan trend pasaran. - DagangNews.com