Kecekapan kos, segmen pembuatan dorong peningkatan keuntungan Luxchem sebanyak 29% pada 1QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kecekapan kos, segmen pembuatan dorong peningkatan keuntungan Luxchem sebanyak 29% pada 1QFY26

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 April – Luxchem Corporation Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 29% kepada RM16.06 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, berbanding RM12.45 juta dalam tempoh sama tahun lalu, meskipun hasil merosot.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Luxchem berkata hasil kumpulan susut 7% kepada RM177.17 juta daripada RM190.07 juta tempoh sama sebelumnya, terjejas oleh kelemahan dalam segmen perdagangan khususnya dalam pasaran tempatan dan eksport.

 

“Bagaimanapun, prestasi keuntungan disokong oleh peningkatan margin apabila keuntungan kasar naik 12% kepada RM33.60 juta berbanding RM30.08 juta sebelumnya.

 

“Keuntungan operasi turut meningkat 21% kepada RM21.40 juta daripada RM17.75 juta, didorong oleh kecekapan kos serta sumbangan lebih tinggi daripada segmen pembuatan.

 

“Selain itu, pendapatan operasi lain melonjak 76% kepada RM2.54 juta, manakala kos kewangan susut ketara 42% kepada RM510,460, sekali gus membantu meningkatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak 24% kepada RM20.89 juta,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Dari segi segmen, perniagaan pembuatan terus menjadi pemacu utama apabila hasil meningkat 19% kepada RM82.64 juta, dengan keuntungan sebelum cukai melonjak 30% kepada RM15.99 juta.

 

Sebaliknya, segmen perdagangan mencatatkan penurunan hasil sebanyak 22% kepada RM94.53 juta, walaupun keuntungan sebelum cukai masih meningkat secara sederhana sebanyak 5% kepada RM5.02 juta.

 

Prestasi eksport menunjukkan corak bercampur dengan penyusutan di pasaran seperti Vietnam dan Thailand, namun diimbangi pertumbuhan kukuh di China, India dan Cambodia.

 

Secara suku ke suku, hasil merosot 1% berbanding suku sebelumnya, manakala keuntungan bersih meningkat 3%, mencerminkan daya tahan operasi dalam persekitaran mencabar.

 

Pendapatan sesaham (EPS) meningkat kepada 1.24 sen daripada 0.99 sen sebelum ini, sejajar dengan pertumbuhan keuntungan bersih yang lebih kukuh.

 

Dari sudut kewangan, kumpulan mengekalkan kedudukan tunai yang sihat sebanyak RM229.91 juta, dengan jumlah pinjaman sekitar RM55.80 juta, mencerminkan tahap leveraj yang rendah.

 

Bagaimanapun, aliran tunai bersih mencatatkan penurunan sebanyak RM55.84 juta, dipengaruhi terutamanya oleh aktiviti pelaburan termasuk perbelanjaan modal serta pengambilalihan Kazox Materials Sdn Bhd bagi mengukuhkan segmen pembuatan.

 

Kumpulan turut membayar dividen interim satu peringkat sebanyak 1 sen sesaham berjumlah RM10.69 juta pada Mac 2026 mencerminkan komitmen berterusan dalam memberi pulangan kepada pemegang saham.

 

Bagi prospek, Luxchem menjangkakan persekitaran operasi kekal mencabar berikutan turun naik kadar pertukaran asing, harga bahan mentah serta ketidaktentuan rantaian bekalan global, namun akan terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi, kawalan kos dan pelaburan berhemat bagi memastikan pertumbuhan mampan.- DagangNews.com