KUALA LUMPUR 27 Mac – Kebergantungan tinggi kepada pasaran China dalam industri semikonduktor global muncul isu kritikal menjelang penyenaraian SkyeChip Berhad di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Bagaimanapun BIMB Securities kekal optimis terhadap prospek syarikat reka bentuk cip tempatan itu di sebalik persaingan sengit dengan menetapkan harga sasaran (TP) 80 sen dalam penilaian awalnya.
Menurut firma penyelidikan tersebut, anggaran berkenaan dibuat berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) pada FY27 sebanyak 26.6 kali ke atas unjuran pendapatan sesaham (EPS) tiga sen.
"TP ini turut mencerminkan diskaun harga sekitar 10% berbanding purata rakan setara global yang mencatatkan kadar PER tinggi mencecah sebanyak 29.6 kali," jelasnya dalam nota analisis hari ini.
SkyeChip menerbitkan 400 juta saham baharu, mewakili 22.3% daripada modal saham diperbesarkan, dengan hasil penyenaraian itu akan digunakan bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Syarikat berkenaan yang diasaskan pada 2019 dan berpangkalan di Bayan Lepas, Pulau Pinang itu juga merancang usaha perluasan operasi termasuk infrastruktur pengkomputeran dan tenaga kejuruteraan.
Dari segi prestasi kewangan, ia masih kukuh apabila hasil naik daripada RM57.2 juta pada FY23 kepada RM119.5 juta pada FY25, mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) 44.6%.

"Untung bersih turut melonjak kepada RM35.9 juta pada FY25, manakala untung kasar naik 40% tahun ke tahun (YoY) kepada RM50.4 juta, dipacu projek baharu dan pengkomersialan produk cip," katanya.
BIMB Securities turut menekankan yang China kini menjadi pasaran terbesar SkyeChip, menyumbang kira-kira 56.5% kepada hasil FY25, sejajar dengan strategi ‘China+1’ dalam kalangan pengeluar cip global.
Firma itu namun memberi amaran beberapa risiko utama termasuk kelewatan pelaksanaan dalam kitaran reka bentuk cip berkompleks tinggi, dan kekurangan bakat dalam ekosistem reka bentuk hadapan.
Kebergantungan kepada pasaran China dan Taiwan, serta turun naik mata wang asing, selain saingan pemain global dan ketidaktentuan rantaian bekalan turut menjadi faktor yang perlu diberi fokus.
"Meskipun berdepan banyak cabaran, kami berpandangan model perniagaan berasaskan harta intelek (IP) ringan aset, menjadikan SkyeChip sebagai prospek menarik menjelang penyenaraian," katanya.
Di samping itu, firma penyelidikan tersebut optimis terhadap portfolio paten yang kukuh serta pendedahan kepada permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI) kumpulan berkenaan. - DagangNews.com








