Kebergantungan Ta Ann terhadap harga minyak sawit mentah dapat tambahkan hasil hingga 15% — RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kebergantungan Ta Ann terhadap harga minyak sawit mentah dapat tambahkan hasil hingga 15% — RHB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 31 Mac — Kebergantungan tinggi terhadap pergerakan harga minyak sawit mentah (MSM) menjadikan Ta Ann Holdings Berhad lebih terdedah kepada turun naik pendapatan, kata RHB Research.


Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut menambah, prospek dividen yang menarik dijangka terus menyokong penilaian saham kumpulan perladangan itu selari dengan status sebagai 'pure planter'.


Katanya, perubahan harga MSM akan memberi impak ketara kepada prestasi kewangan, dengan anggaran bagi RM100 setiap tan pergerakan harga boleh mengubah pendapatannya sebanyak 12% hingga 15%.


“Sekiranya harga MSM kekal pada paras sekitar RM4,500 setiap tan sepanjang FY26, unjuran pendapatan Ta Ann boleh meningkat mencecah sehingga 30%,” kata RHB Research dalam nota analisisnya hari ini.


Ia turut menjangkakan dividen sesaham (DPS) berpotensi meningkat kepada 52 sen berbanding 40 sen ketika ini, bersamaan hasil dividen sekitar 9.75%, dengan andaian nisbah pembayaran 70% hingga 80%.


Firma itu namun mengekalkan penarafan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) sesaham baharu iaitu RM4.95 daripada RM4.32, yang mencerminkan penilaian 11 kali nisbah harga kepada hasil (P/E) FY26.


Dari sudut operasi, Ta Ann menyasarkan pengeluaran tandan buah segar (TBS) meningkat 12.6% kepada 773,000 tan pada FY26, disokong perluasan kawasan matang dan hasil naik kepada 17.14 tan sehektar.

 

Ta Ann_DagangNews


"Prestasi awal tahun juga menunjukkan momentum positif apabila pengeluaran bagi dua bulan pertama FY26 bertambah 7.2% tahun ke tahun (YoY), dibantu keadaan cuaca yang lebih kering," jelasnya.


Sehubungan itu, RHB Research menaikkan unjuran pertumbuhan TBS kumpulan ini bagi FY26 hingga FY28 kepada kira-kira 4.4% hingga 8.2%, berbanding hanya sebanyak 1.2% hingga 7.6% diramal sebelum ini.


Dari segi kos, pengurusan Ta Ann menjangkakan kos unit kekal sekitar RM2,000 setiap tan pada FY26, disokong pertumbuhan volum dan penurunan kos baja sekitar 5% bagi separuh pertama tahun ini.


Dalam pada itu, segmen kayu balak dijangka mencapai pulang modal pada FY26 dengan pengeluaran naik 159% bagi dua bulan pertama 2026 kerana asas rendah, cuaca baik dan peningkatan kuota pembalakan.


"Syarikat juga giat mempelbagaikan pasaran eksport papan lapis, dengan campuran geografi seimbang antara Jepun dan Yaman, berbanding sebelum ini hampir sepenuhnya negara Asia Timur itu," katanya.


Permintaan dari negara Asia Barat itu diramal meningkat susulan aktiviti pembinaan semula selepas konflik, mendorong unjuran pertumbuhan eksport dinaikkan kepada 12.9% bagi FY26 hingga FY27.


Bagi mengurangkan tekanan margin tambah RHB Research, Ta Ann melaksanakan penggantian banyak mesin lama serta berusaha mendapatkan pelepasan sementara bayaran royalti daripada kerajaan.


Secara keseluruhan, ia menaikkan unjuran pendapatan bagi FY26 hingga FY28 masing-masing 14.9%, 7.4% dan 8.8%, namun berpandangan risiko turun naik harga MSM kekal sebagai faktor utama. - DagangNews.com