KUALA LUMPUR 16 April - Kebanyakan pemaju hartanah tempatan mengekalkan sasaran jualan bagi tahun kewangan 2026 (FY2026), mencerminkan tahap permintaan yang kekal stabil meskipun berdepan ketidaktentuan persekitaran ekonomi semasa, menurut CGS Ienternational.
Firma penyelidikan itu berkata, hasil pertemuan dengan beberapa REIT industri dan pemaju hartanah utama, pemain industri menegaskan prospek yang kekal berdaya tahan meskipun berdepan cabaran jangka pendek susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.
"Kami mendapati pemain hartanah industri kekal optimistik terhadap segmen ini, yang terus disokong oleh pertumbuhan permintaan berstruktur di Malaysia.
"Ini turut diperkukuh oleh pengembangan pendedahan industri mereka, seperti usaha sama (JV) akan datang oleh Sime Darby Property (SDPR) dengan SD Guthrie Bhd bagi menambah kira-kira 5,000 ekar tanah industri, serta sasaran Axis REIT untuk menggandakan aset di bawah pengurusan (AUM) kepada RM10 bilion menjelang 2030F," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut CGSI, satu lagi faktor menggalakkan ialah ketegangan geopolitik dijangka mempercepatkan pengalihan perdagangan dan meningkatkan permintaan terhadap hartanah industri.
Katanya, ini disokong lagi oleh peningkatan pertanyaan daripada pemain pusat data (DC), yang melihat Malaysia sebagai lokasi alternatif yang berdaya maju dalam persekitaran serantau yang berubah.
"Kami percaya ini memberi manfaat kepada pemaju dengan pendedahan industri yang lebih tinggi seperti SDPR dan Eco World, yang secara konsisten memperoleh kira-kira 30-40% jualan daripada taman industri, sekali gus meletakkan mereka pada kedudukan baik untuk memanfaatkan pertumbuhan permintaan," katanya.
CGSI berkata, di tengah kebimbangan terhadap potensi penyusutan margin akibat kenaikan kos diesel dan bahan binaan, pihak pengurusan memberi bayangan impaknya adalah terkawal.
Ini memandangkan sebahagian besar kos pembinaan bagi projek semasa telah dikunci melalui kontrak jumlah pukal.
"Namun begitu, kami berpandangan risiko masih cenderung kepada projek baharu, di mana kontrak pembinaan belum dimuktamadkan, sekali gus berpotensi mendedahkan margin kepada inflasi kos," katanya
Selain itu, tambahnya kesan kepada kos juga bergantung kepada peringkat pembangunan projek, dengan projek pada fasa awal seperti bandar baharu dan taman industri memerlukan penggunaan diesel yang lebih tinggi.
Namun begitu, syarikat-syarikat terlibat tidak menjangkakan sebarang kelewatan dalam pengebilan kemajuan atau penyerahan projek, disokong hubungan kukuh dengan kontraktor serta kedudukan kewangan yang sihat.
Antara syarikat yang ditemui termasuk Axis REIT, Mah Sing Group, Sime Darby Property, Matrix Concepts Holdings dan AME Elite Consortium.
Sehubungan itu, CGSI mengekalkan penarafan “Neutral” ke atas sektor berkenaan walaupun menjangkakan pendapatan bagi tempoh FY2026 hingga FY2028 kekal berdaya tahan.
Firma itu menjadikan Eco World sebagai pilihan utama disokong trajektori pendapatan yang kukuh serta potensi pengkomersilan tanah, selain hasil dividen menarik.
Sime Darby Property turut disenaraikan sebagai pilihan utama berikutan keseimbangan jualan antara segmen kediaman dan industri serta peningkatan pendapatan berulang daripada usaha niaga pusat data.
Dari segi penilaian, sektor itu kini diniagakan pada 12 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 2026 dan 0.7 kali nisbah harga kepada nilai buku (P/BV), iaitu sekitar satu sisihan piawai di atas purata 10 tahun.
CGSI melihat potensi pengembangan penilaian pada masa hadapan, disokong pemangkin seperti pengkomersilan REIT dan jualan tanah tambahan, namun memberi amaran terhadap risiko penurunan termasuk perubahan dasar perumahan serta kenaikan tidak dijangka dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR). - DagangNews.com








