KUALA LUMPUR 14 Jan - Standard Chartered Global Research menyemak naik unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 5.2% daripada 4.8% dipacu oleh momentum pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada tiga suku pertama 2025.
KDNK Malaysia pada 2025 dijangka kekal stabil pada 5.0%, disokong oleh permintaan domestik dan sentimen perniagaan yang bertambah baik.
Firma penyelidikan itu menjangkakan perkembangan ekonomi global tidak berubah pada 2025, malah pertumbuhan semakin perlahan kepada 3.1% daripada 3.2% pada tahun lalu.
" Selepas pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), ekonomi global sedang menunggu pengumuman dasar baharu Presiden AS, Donald Trump, yang mungkin termasuk tarif ke atas rakan dagangan utama AS seperti China.
"Kami percaya dasar perlindungan pentadbiran Trump yang baharu berkemungkinan memacu inflasi di AS dan akibatnya memberi kesan kepada prestasi ekonomi seluruh dunia.
"Bagaimanapun, berdasarkan penggal beliau sebelum ini, dasar sebenar pentadbiran Trump mungkin kurang ekstrem daripada retorik kempen.
"Dengan China berkemungkinan menanggung beban dasar tarif AS, ekonomi terbuka kecil Asia boleh terjejas oleh limpahan dalam jangka pendek, termasuk ekonomi yang bergantung kepada perdagangan seperti Malaysia," katanya dalam laporan tinjauan ekonomi 2025 Standard Chartered bertajuk "Reverberations".
ARTIKEL BERKAITAN:KDNK Malaysia diramal kekal stabil pada 5% dipacu oleh perbelanjaan pengguna kukuh - CIMB Securities
Katanya, dalam jangka sederhana, Malaysia dijangka terus menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh dan penggunaan swasta berkemungkinan akan dirangsang oleh pasaran buruh yang sihat, kenaikan gaji perkhidmatan awam dan akaun dana pencen fleksibel baharu.
"Pelaburan swasta dijangka disokong oleh minat pembuatan yang kukuh di Malaysia dan kadar faedah tidak terhad.
"Bagaimanapun, pandangan global yang berhati-hati dan ancaman dasar perdagangan AS yang negatif mungkin melemahkan sentimen pelaburan.
"Walaupun rasionalisasi subsidi berterusan tahun depan, kami menjangkakan inflasi kekal terkawal pada 2.2% pada 2025 berbanding 1.9% pada 2024 memandangkan inflasi yang lebih rendah daripada jangkaan tahun lalu.
"Oleh itu, kami meramalkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar tidak berubah pada 3%.
Sementara itu, ringgit berkemungkinan mengatasi sedikit prestasi mata wang serantau dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, firma tersebut berkata, memandangkan Malaysia bergantung kepada perdagangan dan pertumbuhan China, sebarang dasar perdagangan negatif yang diterajui AS mungkin menimbulkan risiko kepada mata wang itu pada 2025.
“Keyakinan domestik terhadap ringgit telah bertambah baik pada tahun 2024 memandangkan ringgit merupakan salah satu daripada sebilangan kecil mata wang yang meningkat berbanding dolar AS pada tahun 2024.
“Sementara itu, penghantaran balik pendapatan asing institusi tempatan yang berterusan dan aktiviti pelancongan masuk yang kukuh juga boleh memanfaatkan ringgit,” katanya. - DagangNews.com








