KDNK negara diunjur cecah 4.6% pada 2025 dipacu oleh perdagangan teguh, kata AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KDNK negara diunjur cecah 4.6% pada 2025 dipacu oleh perdagangan teguh, kata AmInvestment

Gambar JOHARDY/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Feb - Ekonomi Malaysia dijangka kekal kukuh pada permulaan 2025, didorong oleh kitaran pelaburan swasta berterusan dan perdagangan teguh disokong oleh aktiviti muatan hadapan mendahului potensi tarif Amerika Syarikat.

 

AmInvestment mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) 2025 mencecah 4.6%. 

 

Firma penyelidikan itu bekata, ramalan KDNK tersebut sejajar dengan sempadan bawah julat anggaran rasmi 4.5% hingga 5.5%.

 


Katanya, pertumbuhan KDNK mungkin menyederhana akibat tekanan geopolitik dan trend ekonomi global yang tidak menentu.


 
"Kami meramalkan angka yang lebih tinggi daripada jangkaan semasa KDNK 4Q2024 pada 5% tahun ke tahun (YoY), diterjemahkan kepada pertumbuhan setahun penuh sebanyak 5.1% pada 2024.

 

"Unjuran kami berdasarkan data statistik terkini yang tersedia, lebih tinggi sedikit daripada yang kami jangkakan pada 5% sebelum ini," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 


AmInvestment berkata, prospek ekonomi Malaysia yang masih berdaya tahan disokong oleh pertumbuhan domestik dan persekitaran inflasi yang menyederhana. 

 

"Selain itu, kami melihat paras kadar dasar sealaman (OPR) tahun lepas sebagai neutral, sejajar dengan penilaian Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyokong pertumbuhan ekonomi. 

 

"Ini dicerminkan melalui perbelanjaan pengguna di tengah-tengah peningkatan dalam pengeluaran kad kredit pada suku tersebut," katanya.

 

Apabila kadar pengangguran mencecah paras rendah sedekad pada 3.1% pada Disember 2024, firma tersebut berpendapat tahap OPR akan kekal stabil pada 3% dalam tempoh terdekat.

 

"Dalam pada itu, sektor perkhidmatan yang mendahului unjuran kami pada 5.5% YoY pada suku tersebut itu disokong oleh sektor pelancongan. 

 

"Sektor pelancongan Malaysia merekodkan lebih 25 juta pelancong antarabangsa yang tiba pada 2024 walaupun tidak memenuhi sasaran Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan sebanyak 27.3 juta.

 

"Selain itu, kami menjangkakan sektor pembinaan akan meneruskan pertumbuhan dua angka pada suku tersebut  didorong oleh  pembangunan pusat data, yang boleh menjadi antara sebab lain yang menyumbang kepada prestasi yang lebih kukuh pada 4Q2024," katanya. - DagangNews.com