KD Pari, kapal perang kekang pencerobohan pengganas Sulu tamat perkhidmatan selepas 49 tahun bersama TLDM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KD Pari, kapal perang kekang pencerobohan pengganas Sulu tamat perkhidmatan selepas 49 tahun bersama TLDM

Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang juga warga Kapal Diraja (KD) Pari menurunkan gada-gada tauliah sebagai simbolik pelucutan tauliah KD Pari di Jeti Pangkalan TLDM Sandakan hari ini. - Gambar BERNAMA

SANDAKAN 30 Jan - KD Pari, yang memainkan peranan penting dalam Op Daulat bagi mengekang pencerobohan militan Sulu di Lahad Datu pada 2013, secara rasmi menamatkan perkhidmatannya selepas 49 tahun bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris berkata, upacara penamatan tauliah kapal ronda itu bukan sekadar persaraan aset berusia, sebaliknya melambangkan transformasi TLDM ke arah armada yang lebih moden dan berkeupayaan.

 

“Vesel ini telah berkhidmat dengan cemerlang dalam melaksanakan tugasan di perairan Sabah dan Semenanjung, dengan rekod pelayaran sejauh 397 juta batu nautika. Ia juga terlibat dalam pelbagai operasi penting serta latihan bersama kapal tempatan dan asing.

 

“KD Pari merupakan kapal pertama daripada skuadronnya yang ditamatkan perkhidmatan pada tahun ini, dengan beberapa kapal lain dijangka melalui proses sama secara berperingkat,” katanya selepas menyempurnakan upacara penamatan tauliah KD Pari di sini pada Jumaat.

 

Beliau menambah, KD Pari turut memainkan peranan penting dalam menyokong misi di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi memastikan keselamatan zon perairan di timur Sabah.

 

Menurut sejarah ringkas, KD Pari dilancarkan pada 1975 di Limbungan Hong Leong-Lürssen, Butterworth, dan ditauliahkan pada 23 Mac 1977.

 

Menggunakan isyarat panggilan antarabangsa 9MJO dan nombor panji 3510, kapal itu pada awalnya ditempatkan di bawah Skuadron Kapal Serang Laju (Meriam) bersama enam lagi kapal ronda kelas Jerong.

 

Skuadron tersebut merangkumi KD Jerong (3505), KD Todak (3506), KD Paus (3507), KD Yu (3508), KD Baung (3509) dan KD Pari (3510). Pada 2019, Skuadron Kapal Serang Laju (Meriam) telah dijenamakan semula sebagai Skuadron Kapal Rondaan Laju (SKRL-6), yang turut menggabungkan KD Serang (3502) dan KD Ganas (3503) di bawah skuadron sama.

 

Kapal-kapal TLDM berkenaan kemudiannya ditempatkan di bawah pemerintahan Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) yang berpangkalan di Sandakan, bagi melaksanakan tugas rondaan, khususnya di sepanjang pantai timur Sabah. - BERNAMA