KUALA LUMPUR 24 Feb - Selepas penghantaran minyak pertamanya, kapal penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO) Mero 3 diyakini menyediakan aliran tunai jangka panjang stabil untuk MISC Bhd, kata RHB Research.
Bagi penghantaran kapal, kumpulan itu menjangkakan empat, 13 dan tiga pembawa gas asli cecair (LNG) baharu akan dihantar pada FY25, FY26 dan FY27 – manakala nisbahnya ialah 85:15 untuk bahagian gas.
Firma penyelidikan itu berkata, pasaran perkapalan LNG kekal lemah pada 2025, berikutan kemasukan kapal baharu dan kelewatan bekalan tambahan daripada projek pencairan baharu.
"Bagi bahagian petroleum, manakala kadar spot kapal tangki minyak mentah separuh kedua 2024 lebih lemah daripada separuh pertama 2024, kesan permintaan lebih lemah dari China dan pemotongan output OPEC+.
"Prospek keseluruhan pasaran kapal tangki bagaimanapun kekal positif, disokong eksport Atlantik yang kukuh, import minyak mentah Asia yang meningkat dan buku pesanan binaan baharu," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: MISC catat kerugian bersih RM446.2 juta pada 4QFY24 kesan hasil lebih rendah dalam semua segmen perniagaan
Terdahulu, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), untung bersih kumpulan itu susut kepada RM1.19 bilion berbanding RM2.12 bilion manakala hasil mereka juga susut RM13.24 bilion berbanding RM14.27 bilion pada FY23.
Hasil segmen luar pesisirnya merosot 52.4% kepada RM419.7 juta disebabkan pengiktirafan lebih rendah hasil daripada penukaran unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) berikutan kemajuan projek yang lebih rendah selepas pencapaian minyak pertamanya pada suku ini.
Hasil bagi segmen petroleum dan perkapalan, serta aset gas dan segmen rumusan masing-masing susut 12.8% dan 3% kepada RM1.21 bilion dan RM849.5 juta.
RHB Research menyemak turun anggaran pendapatan FY25 MISC sebanyak 2.3% bagi mencerminkan prospek yang lebih lemah untuk segmen gas.
Katanya, kunci kira-kira MISC kekal kukuh, dengan penggearan bersih bertambah baik kepada 0.23x daripada 0.25x disebabkan pembayaran balik pinjaman.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM9.70 sesaham," katanya. - DagangNews.com








