Kapal ke-19 dinamakan Orkim Garnet | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kapal ke-19 dinamakan Orkim Garnet

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Mei – Orkim Berhad terus memperkukuh kedudukan sebagai antara pemain utama industri pengangkutan maritim serantau dengan penerimaan kapal baharu, Orkim Garnet yang menambah jumlah armada kumpulan itu kepada 19 buah kapal.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Orkim berkata kapal tersebut sebelum ini dikenali sebagai Rich Sunda dan merupakan kapal tangki jenis IMO Type II yang dibina pada tahun 2026 dengan kapasiti muatan sebanyak 13,850 metrik tan.

 

“Dengan penambahan ini, jumlah kapasiti keseluruhan armada Orkim Berhad kini meningkat kepada 253,036 deadweight tonnes (DWT) yang akan memperkukuh keupayaan operasi syarikat dalam sektor pengangkutan tenaga dan bahan kimia,” katanya dalam makluman tersebut.

 


Orkim Garnet direka khas untuk mengangkut produk petroleum bersih (CPP) serta bahan kimia, menjadikannya aset strategik yang menyokong pengembangan perniagaan syarikat dalam segmen kargo bernilai tinggi.

 

Kapal ini dijadualkan memulakan pelayaran sulungnya dalam tempoh terdekat, selaras dengan permintaan kukuh pelanggan di rantau Asia bagi perkhidmatan logistik tenaga yang lebih efisien.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Orkim Berhad, Kapten Cheah Sin Bi berkata, penerimaan Orkim Garnet adalah sebahagian daripada pelan strategik pengembangan dan pembaharuan armada syarikat.

 

Beliau berkata, pasaran kapal tangki ketika ini kekal menyokong dengan kadar tambang yang tinggi, namun disiplin dalam struktur kontrak perniagaan sewaan kekal penting bagi menguruskan turun naik pasaran.

 

“Kemasukan kapal baharu itu turut membuka peluang kepada Orkim untuk memperluaskan operasi ke segmen pengangkutan bahan kimia serta minyak sawit, sejajar dengan pertumbuhan perdagangan serantau.

 

“Strategi pengembangan ini juga bertujuan mengurangkan purata umur armada kumpulan, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi, kebolehpercayaan serta tahap keselamatan keseluruhan kapal yang dikendalikan,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Orkim beli kapal baharu Rich Sunda bernilai RM97 juta daripada syarikat Singapura

 

Secara keseluruhan, Orkim Berhad kini mengoperasikan 19 buah kapal yang terdiri daripada pelbagai segmen pengangkutan tenaga.

 

Daripada jumlah tersebut, 15 adalah kapal tangki produk petroleum bersih (CPP) dengan kapasiti gabungan sebanyak 148,534 DWT, masing-masing berkapasiti antara 7,000 hingga 15,000 DWT.

 

Selain itu, kumpulan turut memiliki sebuah kapal CPP medium-range dengan kapasiti 48,005 DWT serta sebuah kapal tangki gabungan bahan kimia dan petroleum bersaiz 49,999 DWT.

 

Syarikat juga mengendalikan dua kapal gas petroleum cecair (LPG) dengan jumlah kapasiti 6,498 DWT, sekali gus melengkapkan kepelbagaian operasi armada kumpulan.

 

Orkim turut merancang untuk memperoleh sebuah lagi kapal IMO Type II pada separuh kedua tahun ini sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan berterusan.

 

Selain itu, dua kapal tangki CPP baharu yang sedang dibina dijangka akan diserahkan pada tahun 2027 untuk terus memperkukuh kapasiti dan keupayaan operasi kumpulan pada masa hadapan.

 

Menurut syarikat, pengembangan armada ini mencerminkan komitmen berterusan Orkim Berhad untuk mengekalkan daya saing dalam industri perkapalan serantau melalui pelaburan strategik dan pengurusan armada yang lebih moden dan efisien. - DagangNews.com